Sabtu, 22 November 2014 | 6:31pm

Banjir: Kerajaan Terengganu akan beri bantuan ehsan RM500


MENTERI Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (tengah) beramah mesra dengan mangsa banjir, Muhd Izz Danial Supian, 4, ketika lawatan di pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus malam tadi. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan memberi bantuan segera iaitu bayaran ehsan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga mangsa banjir yang melanda negeri ini, minggu lalu.

Berikutan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM750,000 untuk diagihkan kepada 1,561 keluarga membabitkan 6,255 mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan di lima daerah iaitu Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Setiu dan Besut.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman, berkata bantuan awal itu akan disalurkan dalam tempoh dua minggu dari sekarang sebagai langkah meringankan beban mangsa ketika menghadapi bencana itu, baru-baru ini.


MENTERI Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (kiri) membantu seorang kanak-kanak, Muhd Izz Danial Supian, 4, membuka plastik biskut sewaktu melawat mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus malam tadi. - Foto BERNAMA

Katanya, selain bantuan kerajaan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga akan menyalurkan sumbangan yang sama kepada semua mangsa terbabit selepas ini.

"Kerajaan negeri bersetuju memberi bayaran ehsan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang menjadi mangsa banjir.

"Bayaran akan dibuat berdasarkan senarai nama keluarga mangsa yang berdaftar di semua pusat pemindahan," katanya pada sidang media selepas Taklimat Banjir yang dikendalikan oleh MKN Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini.

Berita Harian X