Ahad, 4 September 2016 | 10:26pm

181 Pasukan CDERT-C ditubuhkan di Perak


PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berucap pada majlis perasmian Program Kesedaran Keselamatan Bencana Negeri Perak 2016 bagi daerah Kuala Kangsar dan Perak Tengah di Ipoh, hari ini. - Foto Mohammed Arsyad Md Yasin

IPOH: Sebanyak 181 Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komuniti (CDERT-C) ditubuhkan di seluruh Perak bagi membantu mangsa bencana.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata CDERT-C adalah pasukan dianggotai penduduk setempat di sesebuah kampung atau perumahan yang berperanan memberi bantuan awal sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi bencana.

"Mereka adalah kumpulan awal yang terlatih dan berkemahiran dalam aktiviti pengurusan bencana yang dapat memberi respon pertama secara cekap apabila kejadian sebegitu berlaku di kawasan kediaman," katanya.

Beliau berkata demikianselepas merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Bencana Negeri Perak 2016 bagi daerah Kuala Kangsar dan Perak Tengah di sini hari ini.

Program anjuran bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) Stesen-Stesen Janaeletrik Sungai Perak disertai 600 peserta terdiri daripada ketua-ketua komuniti kedua-dua daerah berkenaan.

Zainol Fadzi berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan lebih menyeluruh dan bersepadu berhubung tugas dan peranan ketua komuniti dalam menghadapi situasi bencana yang memfokus kepada bencana banjir.

"Pelbagai agensi kerajaan yang terbabit secara langsung dalam aktiviti pengurusan bencana seperti tersenarai dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara No 20 turut dijemput dalam program berkenaan bagi membentuk penyelarasan bersama dari segi tugas, peranan serta tindak balas setiap agensi berkaitan ketika berlaku bencana di Perak," katanya.

Berita Harian X