Ahad, 4 September 2016 | 7:06pm

Peminat doa Fara Fauzana tabah hadapi dugaan


PERSONALITI radio dan televisyen, Fara Fauzana. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Peminat mendoakan agar personaliti radio dan televisyen Fara Fauzana tabah menghadapi dugaan pembatalan rancangan perkahwinannya pada 17 September ini.

Rata-ratanya memberikan komen meminta wanita terbabit bersikap lebih positif dengan menganggap belum sampai rezekinya untuk mendirikan rumah tangga seperti diharapkan.

"Sabar saja adik Fara. Mungkin ada hikmah di sebaliknya yang kita tidak tahu. Kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan. Semoga adik tabah melalui dugaan ini," tulis Sairah Ismail di laman Facebook BH.

Dalam pada itu, seorang netizen dikenali sebagai Jimah Gebash Gebush pula memberikan pandangan agar perancangan perkahwinannya pada masa datang tidak perlu digembar-gemburkan seperti dilakukannya sebelum ini.

"Tak apalah Fara, ...selepas ini nak kahwin, senyap-senyap saja. Tidak perlu buat sidang media. Biasanya waktu seperti ini banyak dugaan, Reda ya Fara," katanya.

Sebentar tadi, Fara atau nama penuhnya Fara Fauzana Mohd Fadzli, 36, memaklumkan rancangan perkahwinan beliau dengan jejaka bernama Hafiz yang sepatutnya berlangsung pada 17 September ini dibatalkan.

Menerusi kenyataan media yang dikirimkan kepada BH Online sebentar tadi, Fara berkata, keputusan membatalkan perkahwinan itu dibuat atas sebab-sebab peribadi yang sukar untuk dikongsikan dengan umum.

Tambah Fara, keputusan itu juga dibuat selepas memikirkan perkara itu sebaik-baiknya, selain membincangkan hal berkenaan bersama kedua-dua orang tuanya.

Sementara itu, kebanyakan daripada peminat lelaki pula memberi komen yang lebih bersifat terbuka, apabila pembatalan perkahwinan itu kononnya memberi peluang kepada golongan Adam di luar sana untuk mencuba nasib mendekati Fara.

"Fara jangan risau. Allah sudah tentukan orang yang baik akan mendapat pasangan yang baik. Saya yakin ramai lelaki baik di luar dan salah seorang daripada mereka bakal singgah di hati awak.

"Sekurang-kurangnya lelaki yang meminati awak masih lagi mempunyai peluang untuk mencuba nasib," kata Muhd Haikel.

Pada 1 Ogos lalu, Fara mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan dirinya bakal menamatkan zaman bujang bersama ahli perniagaan dikenali dengan nama Hafiz pada 17 September 2016.

Bekas penyampai Hot FM itu juga pada majlis sama berkata, pernikahan mereka akan dilangsungkan di Dewan Mustapha Kamal, Neo Damansara, di sini.

Mengenai perkenalan bersama Hafiz, wanita itu berkata, mereka sudah saling mengenali sejak lebih dua tahun lalu. Bagaimanapun Fara enggan mendedahkan identiti lelaki berkenaan.

183 dibaca
Berita Harian X