Ahad, 4 September 2016 | 8:25am
MAYAT mangsa bot belanggar di Sungai Igan ditemui pagi tadi.

Mangsa bot berlanggar di Sungai Igan ditemui


ANGGOTA bomba membaaa mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

MUKAH: Mayat pemandu bot yang terbabit dalam pelanggaran di Sungai Igan, malam tadi ditemui pada jam 10.55 pagi tadi.

Mayat mangsa, Sulai Api, 55, ditemui penduduk kampung yang menjalankan usaha mencari dengan kaedah 'sait' (menggunakan rotan yang ditarik di dasar sungai) kira-kira 500 meter dari lokasi pelanggaran di Kampung Kebuau, dalam daerah Matu itu.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Mukah berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan akan dihantar ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam tadi, bot mangsa dikatakan dilanggar oleh sebuah bot yang datang dari arah bertentangan ketika beliau sedang memandu bersendirian di Sungai Igan.

Difahamkan, pemandu bot yang melanggar mangsa bertindak melarikan diri.

Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu cuba menyelamatkan mangsa yang terjatuh ke dalam sungai, namun usaha mereka gagal berikutan keadaan gelap selain arus sungai agak deras.

Berita Harian X