Jumaat, 2 September 2016 | 11:52pm

Pemain Sarawak digantung 6 bulan, denda RM2,000


GAMBAR fail pada 22 Julai 2016 menunjukkan pemain Sarawak, Mohd Hairol Mokhtar (tengah) berebut bola dengan pemain Johor DT pada aksi Liga Super di Stadium Negeri Kuching. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan Sarawak, Mohd Hairol Mokhtar digantung selama enam bulan dan dilarang terbabit dalam sebarang pertandingan bola sepak Malaysia bermula semalam hingga 28 Februari depan, kerana berkelakuan ganas terhadap pengadil perlawanan.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Tatatertib, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat semalam, ke atas Mohd Hairol, yang melakukan kesalahan itu semasa aksi Piala Malaysia menentang Kedah pada 13 Julai lalu, di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Menurut kenyataan daripada FAM hari ini, pemain itu turut didenda RM2,000 serta diberi amaran keras dan berdepan hukuman lebih berat jika mengulangi kesalahan yang sama.

Jawatankuasa itu juga mengenakan hukuman gantung empat perlawanan kepada pemain pertahanan Negeri Sembilan, Daniel Sang Ting kerana bertindak ganas terhadap pemain Terengganu dalam satu lagi aksi Piala Malaysia pada 30 Julai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

"Ia termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik pada perlawanan Piala Malaysia menentang Terengganu pada 9 Ogos lalu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Beliau turut didenda RM1,000," menurut kenyataan itu.

Tindakan penyokong Terengganu membakar mercun di sekitar kawasan stadium dan melontar bekas minuman ke arah pegawai perlawanan pada aksi yang sama, membawa padah apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dikenakan denda RM17,500 dan amaran keras.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) pula dikenakan denda RM15,000 dan amaran keras akibat gagal mengawal kelakuan penonton pada aksi Piala Malaysia antara Pahang menentang Kuala Lumpur di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 12 Ogos lalu.

Penyokong pasukan Pahang didapati bertindak menyalahi peraturan apabila membakar mercun dan melontar bom asap ke atas trek dan tepi padang semasa perlawanan tersebut.

- BERNAMA

Berita Harian X