Jumaat, 2 September 2016 | 12:35pm

15 PATI ditahan dalam Ops Mahir


JABATAN Imigresen menahan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang wanita tempatan dalam satu serbuan di sebuah kilang Kempas Lama, Jalan Skudai. - Foto Ihsan Imigresen Johor

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Johor menahan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu serbuan di sebuah kilang di Kempas Lama, Jalan Skudai, di sini, semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor, Rasidin Rahmat, berkata dalam serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu, seramai 42 individu diperiksa dan 15 daripadanya ditahan.

Katanya, mereka yang ditahan membabitkan 14 warga Bangladesh dan seorang warga Filipina berusia, antara 20 tahun hingga 43 tahun.

"Seorang wanita warga tempatan berusia 35 tahun dipercayai Pengurus Sumber Manusia di kilang berkenaan turut ditahan mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63.

"Semua 15 PATI ditahan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tinggal tanpa pas dan dokumen perjalanan sah," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Rasidin berkata, semua yang ditahan sibuk bekerja ketika ditahan dan ada yang cuba melarikan diri serta bersembunyi sebaik menyedari kehadiran anggota Imigresen.

Bagaimanapun, katanya, semua dapat ditahan kerana kawasan kilang berkenaan dikepung 20 anggota dalam operasi berkenaan.

"Serbuan dibuat hasil aduan awam dan kebanjiran warga asing yang tinggal serta bekerja tanpa permit sah di sekitar kawasan berkenaan," katanya.

Katanya, mereka yang ditahan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika, di sini, untuk tindakan selanjutnya.

Berita Harian X