Jumaat, 2 September 2016 | 1:13am

4 pendaki diselamatkan selepas terkandas 12 jam di Gunung Rajah


SEORANG daripada empat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut. - Foto Amrullah Abdul Karim

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan empat pendaki termasuk seorang wanita setelah terkandas selama 12 jam di puncak Gunung Rajah terletak di Taman Negara Pahang hari ini.

Jurucakapnya berkata, Bomba menerima panggilan kecemasan daripada renjer taman negara terbabit pada jam 6 petang Rabu sebelum enam anggota dikerahkan untuk mendaki puncak gunung itu.

"Pasukan bomba mengambil masa hampir 12 jam untuk sampai ke puncak bagi menyelamat semua mangsa yang keletihan dan mengalami kekejangan otot dan gastrik kerana kehabisan bekalan makanan.

"Setibanya di lokasi, keempat-empat mereka diterbangkan dengan sebuah helikopter dari Unit Udara JBPM dari puncak gunung itu untuk membawa turun pada pukul 3 petang tadi," katanya kepada BERNAMA malam ini.

Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R Supramaniam mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi.

Difahamkan semua mangsa berusia lingkungan 20-an dilaporkan mula mendaki melalui Kampung Orang Asli Pertak, kira-kira 5 pagi sebelum tiba di puncak gunung berkenaan pada 1 tengah hari Rabu. -BERNAMA

Berita Harian X