Jumaat, 2 September 2016 | 12:53am
KHAZANAH Nasional Bhd

Khazanah kumpul AS$398.8j hasil terbitan sukuk

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd menetapkan harga sukuk boleh tukar pada AS$398.8 juta (RM1.622 bilion) yang diterbitkan menerusi sebuah syarikat tujuan khas bebas yang diperbadankan di Labuan, Bagan Capital Ltd.

Dalam satu kenyataan, Khazanah berkata, sukuk boleh tukar itu bagi pegangan saham biasa Beijing Enterprises Water Group Ltd (BEWG) yang juga penyedia perkhidmatan penyelesaian pengurusan air dan sisa kumbahan di China.

"Pelaburan Khazanah sebanyak of HK$1.18 bilion (RM486 juta) dalam BEWG pada Oktober 2013 adalah sebahagian daripada lanjutan kolaboratif dengan Beijing Enterprises Group Co Ltd bagi mengukuhkan pendedahannya kepada kepesatan sektor berkaitan alam sekitar di China, termasuk air dan sisa-kepada-tenaga.

"Pada harga penutup sebanyak HK$5.41 semalam, pegangan kepentingan Khazanah dalam BEWG adalah bernilai HK$2.164 bilion (RM1.151 bilion) yang membabitkan perolehan pelaburan sebanyak HK$984 juta (RM665 juta)," katanya.

Sukuk berjangka masa lima tahun dengan pilihan hak menjual pada akhir tahun ketiga, ternyata mendapat permintaan kumpulan pelbagai pelabur merangkumi dana tunggal, dana lindung nilai, dana arbitraj serta pengurus aset di sekitar Asia dan Eropah.

Ketua Pegawai Kewangan Khazanah, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata keunikan struktur sukuk itu akan membolehkan penyertaan para pelabur mewakili dana Islam berikutan langkah Khazanah melakukan pertukaran menerusi penyelesaian tunai jika saham-saham BEWG tidak menepati nisbah kewangan patuh Syariah pada tarikh tukaran berkenaan.

"Struktur itu juga memberi pilihan kepada pemegang sukuk untuk meminta Khazanah menyelesaikan hak tukaran saham BEWG sebagai ganti tunai, tertakluk kepada terma dan syarat sukuk berkenaan.

"Ini adalah satu lagi kejayaan dalam rekod pencapaian Khazanah dari segi inovatif dan transaksi yang bermakna," katanya.

Sukuk boleh tukar itu akan disenaraikan di Singapore Exchange Securities Trading Ltd, Labuan International Financial Exchange Inc dan Bursa Malaysia (di bawah Rejim Pengecualian). - BERNAMA

Berita Harian X