Khamis, 1 September 2016 | 11:56am

Operator kilang berdepan empat pertuduhan babit IS

JOHOR BAHRU: Seorang operator kilang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, selepas didakwa atas pertuduhan memiliki senjata tiruan pada 4 Ogos lalu.

Tertuduh, Mohammad Firdaus Abdullah, 26, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Mohammad Firdaus turut didakwa atas empat lagi pertuduhan termasuk terbabit memberi sokongan kejadian letupan di premis hiburan di IOI Boulevard, Puchong di Selangor pada 28 Jun lalu, memiliki buku yang berkait dengan aktiviti pengganas militan IS dan al-Qaeda selain memiliki senjata tiruan.

Mengikut fakta kes, polis menemui senjata tiruan jenis Airsoft Gun MK681C2 selepas menggeledah rumah keluarga tertuduh di Jalan Persiaran Tanjung, Taman Kempas Permai, Kempas di sini antara jam 9.30 hingga 10.30 malam.

Bagi kesalahan itu, Mohammad Firdaus didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Mohd Ghazaly dan Lydiana Mansor.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh bermula daripada tarikh ditangkap.

Berita Harian X