Khamis, 1 September 2016 | 12:05am
PELBAGAI arca ikonik negara menjadi hiasan di kediaman Sarip Jonit seperti Menara Berkembar KLCC, Jalur Gemilang dan bunga kebangsaan bunga raya dibuat daripada bahan buangan. - Foto Syarafiq Abd Samad
SARIP Jonit membetulkan botol yang digunakan bagi menghasil bentuk Jalur Gemilang di laman rumahnya di Parit Raja, Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad
INSAF dengan kepayahan hidup pada zaman sebelum merdeka mendorong Sarip Jonit dan isterinya amat menghargai erti kemerdekaan negara. - Foto Syarafiq Abd Samad

56 tahun tak jemu hias kediaman sambut Hari Kebangsaan


BATU PAHAT: Menghias rumah dan halamannya setiap kali Hari Kemerdekaan menjadi kemestian bagi pasangan warga tua Sarip Jonit, 78, dan isterinya, Tuminah Miskun, 77.

Sejak 56 tahun lalu, pasangan ini tidak pernah gagal membuat hiasan yang melambangkan patriotisme di kediaman mereka di Kampung Parit Raja Darat, di sini.

Dorongannya ialah rasa keinsafan dengan kepayahan hidup pada zaman sebelum merdeka yang membuatkan mereka amat menghargai erti kemerdekaan negara.

Lebih istimewa, hiasan dan landskap berkenaan dibina dengan kudrat empat kerat dua warga tua berkenaan secara sedikit demi sedikit sejak lebih 20 tahun lalu menggunakan bahan terbuang.

Bakat kreatif mereka terserlah apabila membina pelbagai arca ikonik negara termasuk Menara Berkembar KLCC, Jalur Gemilang dan bunga kebangsaan bunga raya dibuat daripada bahan buangan,seperti botol minuman, tayar, buluh, jaring besi serta atap zink terpakai.

Sarip berkata, beliau dan isterinya mula tergerak menghasilkan arca ikonik negara dan landskap bertema kemerdekaan daripada bahan terbuang selepas saban tahun menghias rumah mereka dengan pelbagai saiz bendera Jalur Gemilang yang dijahit sendiri.

PENGALAMAN Sarip Jonit ketika negara dijajah banyak memberi keinsafan dan kesedaran dan Sarip merasakan kemerdekaan perlu sentiasa disemarakkan serta dirayakan. - Foto Syarafiq Abd Samad

HALAMAN rumah yang digelar Taman Malaysia Merdeka ini kerap dijadikan pelancong dan orang ramai sebagai lokasi untuk mengabadikan kenangan kemerdekaan. - Foto Syarafiq Abd Samad

Katanya, mereka mahu mengabadikan halaman rumah dengan hiasan dan landskap kemerdekaan yang kekal dan mampu bertahan lama bagi menunjukkan semangat patriotik sepanjang tahun tanpa perlu menunggu tarikh kemerdekaan negara semata-mata.

"Sejak 1960, kami tidak pernah gagal menghias rumah setiap kali menjelang tarikh kemerdekaan negara dengan menjahit bendera pelbagai saiz untuk menghias halaman rumah dan ia mula dipasang mulai akhir Julai setiap tahun tetapi bendera yang digantung tidak mampu bertahan lama dan cepat rosak sekali gus mencacatkan pandangan.

"Oleh itu, sejak akhir tahun 1980-an kami mendapat idea untuk menghasilkan hiasan dan landskap bertema kemerdekaan negara yang kekal menggunakan pelbagai bahan terbuang supaya ia boleh ditatap sepanjang tahun," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Sarip berkata, dibantu dua cucu mereka mula mengumpul bahan terbuang dan menghasilkan rekaan hiasan dan landskap bertema kemerdekaan berdasarkan kreativiti serta mengambil inspirasi bangunan ikonik negara.

Katanya, beliau tidak menyangka halaman rumah yang didedikasikan dengan hiasan serta landskap bertema kemerdekaan yang dinamakan Taman Malaysia Merdeka itu, berjaya menarik minat orang ramai serta pelancong sehingga ramai yang melawat rumah mereka semata-mata mahu mengabadikan kenangan di situ.

SARIP Jonit bersama isterinya, Tuminah Miskun bergambar berlatar belakang kediaman mereka yang dihiasi dengan pelbagai hiasan dan landskap bertema kemerdekaan negara. - Foto Syarafiq Abd Samad

SEJAK 1960, Sarip dan isteri tidak pernah gagal menghias rumah setiap kali menjelang tarikh kemerdekaan negara. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Kami mengabadikan halaman rumah dengan hiasan bertema kemerdekaan sebagai tanda sayang dan ingatan tidak berbelah bahagi kepada tanah air yang amat kami cintai apatah lagi kami berdua pernah merasai dan menyaksikan sendiri kekejaman tentera Jepun sewaktu mereka menawan Tanah Melayu dulu.

"Pengalaman ketika dijajah banyak memberi keinsafan dan kesedaran kepada kami berdua betapa sambutan kemerdekaan negara perlu sentiasa disemarakkan serta dirayakan, dan kami menunjukkannya menerusi penghasilan Taman Malaysia Merdeka ini.

"Ini adalah cara kami suami isteri menunjukkan kasih sayang kepada negara. Kami berharap generasi muda dapat mencontohi semangat cintakan negara dan tidak malu menunjukkannya bagi meraikan hari kemerdekaan negara," katanya.

FAKTA NOMBOR

  • 10 rekaan ikonik negara termasuk Menara Berkembar KLCC, Menara KL, Jalur Gemilang, bunga kebangsaan gergasi, peta Malaysia, kapal terbang MH370 serta arca pahlawan negara dibina di halaman rumah warga tua berkenaan.
  • 2,000 botol minuman terpakai digunakan untuk membina Menara Berkembar KLCC dan Jalur Gemilang bersaiz besar.
  • 30 hari tempoh masa diambil bagi menyiapkan setiap hiasan ikonik yang dihasilkan sedikit demi sedikit sehingga selesai sejak awal 1990-an.
Berita Harian X