Rabu, 31 Ogos 2016 | 2:49pm

Pelakon Ana Dahlia selamat diijabkabulkan

ANA dan Ashraf ibarat merpati putih dua sejoli selepas selesai majlis akad nikah di Hotel Perdana Taiping. -Foto Muhamad Izzat Nasuruden

TAIPING: Pelakon, Ana Dahlia kini sah menjadi isteri kepada Ashraf yang juga anak pengarah, Datuk Jurey Latiff Rosli, pagi tadi.

Ana atau nama sebenarnya, Diyana Mastura Jaafar, yang popular dengan lakonannya dalam drama Budak Magis ditayangkan di TV3 kelihatan tenang sebaik sahaja akad nikah selesai dilafazkan di Hotel Perdana Taiping, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Pasangan yang kedua-duanya berusia 33 tahun, dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Daerah Taiping, Ustaz Roziman Tajuddin.

Ana kelihatan anggun menggayakan busana rona putih menerima RM1,000 sebagai mas kahwin.

Selain itu, Ana turut menerima tujuh dulang hantaran daripada Ashraf manakala pihak perempuan membalas dengan lima dulang hantaran.

Majlis itu berlangsung secara sederhana dan dihadiri kira-kira 50 orang ahli keluarga daripada kedua-dua belah pihak.

Ana dan Ashraf mula berkenalan sejak setahun lalu dan mengikat tali pertunangan pada 30 Julai tahun ini.

Berita Harian X