Rabu, 31 Ogos 2016 | 9:43am

Kanak-kanak mangsa dera selamat dikebumi


JENAZAH Nudzirah Nur Safiah Sabaruddin, 2 yang dipercayai didera dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Jenazah kanak-kanak berusia dua tahun yang mati dipercayai akibat didera ahli keluarga sendiri Isnin lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbong Paka, malam tadi.

Mangsa, Nudzirah Nur Safiah Sabarudin selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu, kira kira jam 9.30 malam.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa dikatakan meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari sebelum dibawa kakak dan abang ipar yang menjaganya ke Klinik Kesihatan Paka, kira-kira jam 3 petang.

Kanak-kanak itu dikatakan dipelihara oleh kakak dan abang iparnya kerana kedua ibu bapa mereka bekerja di Kuala Lumpur.

Pemeriksaan lanjut yang dijalankan pegawai perubatan klinik kesihatan berkenaan mendapati ada kesan lebam di beberapa bahagian badan dan kaki mangsa.

Pegawai perubatan terbabit kemudiannya datang ke Balai Polis Paka untuk membuat laporan, kira-kira jam 3.45 petang.

Jenazah mangsa kemudiannya dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun, kira-kira jam 7 malam Isnin untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X