Jumaat, 21 November 2014 | 7:51pm
Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge

Liverpool mahu siasat kecederaan Sturridge

LIVERPOOL: Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge terus dihimpit masalah kecederaan - kali ini di paha kiri yang memanjangkan 'tempoh cutinya' bersama skuad England.

Sturridge yang tidak beraksi sejak Ogos akibat kecederaan mengharungi masalah kecederaan baharu apabila mengalami otot terkoyak ketika menjalani sesi latihan, Selasa lalu.

Kecederaan terkini melanda penyerang itu jelas mengecewakan pengurus Liverpool, Brendan Rodgers yang mengulas ini kali kesembilan pemainnya itu berdepan kecederaan paha sepanjang kerjayanya.

"Jadi terdapat isu mengenai perkara ini," katanya.

Liverpool dalam pada itu berkata kelab itu "akan melancarkan siasatan terhadap isu kecederaan itu".

Sturridge yang juga penjaring kedua terbanyak di Liga Perdana Inggeris musim lalu terpaksa disisihkan akibat dua kecederaan paha berasingan selain masalah kecederaan betis musim ini.

The Reds bergelut dengan ketiadaan Sturridge dengan penyerang baharu, Mario Balotelli, Fabio Borini dan Rickie Lambert terus gagal mencetus impak. - AP

Berita Harian X