Selasa, 30 Ogos 2016 | 2:34pm

Empat ditahan curi kad MSAN TM


KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mohd Nashir Ya (dua, kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 40 peranti multi-service access node (MSAN) milik Tekekom Malaysia (TM) yang dirampas dalam satu operasi di Sungai Petani pada 26 hingga 28 Ogos lalu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini.
 Turut hadir Pengurus Besar TM Kedah/Perlis, Noor Lela Baba (kiri).
- Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Polis melumpuhkan kegiatan curi kad rangkaian akses pelbagai perkhidmatan (MSAN) di kabinet milik Telekom Malaysia (TM) di Kedah dengan penahanan empat lelaki yang aktif, sejak April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, berkata suspek berusia antara 25 hingga 40 ditahan di beberapa lokasi di Sungai Petani melalui Ops Cantas Telko/TM, bermula jam 1 pagi Jumaat hingga 9 pagi Ahad lalu.

Susulan penahanan itu, polis merampas 40 keping kad MSAN, 20 modem dan beberapa komputer riba serta monitor bernilai lebih RM40,000 di sebuah premis perniagaan barang lusuh di Kawasan Perindustrian Ringan Angsana, Sungai Petani.

"Seorang suspek mendakwa dia adalah anak bekas vendor TM dan salah seorang lagi pula mendakwa bekas pekerja kontrak TM, manakala dua lagi peniaga barangan lusuh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Barang Lusuh 1946 (Peniaga Barang Terpaksa 1946).

Polis sedang mencari Shahmizal Mat Isa, 35, atau dikenali sebagai Kenit beralamat di No 264, Taman Seri Impian, Sungai Petani, bagi membantu siasatan.

Berita Harian X