Selasa, 30 Ogos 2016 | 1:09pm

Maut selepas hantar ibu pulang

KUALA KUBU BHARU: Koperal Ahmad Faizal Abdul Rahim yang terbunuh bersama isteri dan dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 405 Lebuhraya Utara Selatan awal pagi ini, sepatutnya mula bertugas hari ini selepas bercuti seminggu.

Kakak Allahyarham, Habshah, 48, berkata adiknya yang lebih mesra di panggil Abang, bertolak balik ke Melaka tengah malam tadi selepas menghantar ibu mereka pulang ke kampung di Pokok Assam, Taiping.

"Adik saya pulang ke Taiping pada Sabtu lalu apabila emak beria-ia mahu pulang ke kampung selepas pergi ke Melaka minggu lalu.

"Jumaat lalu arwah ada telefon saya meminta pendapat sama ada hendak mengikut kemahuan emak untuk menghantarnya pulang ke Taiping kerana Faizal masih belum puas bersamanya atau sebaliknya.

"Saya kata lebih baik ikut kemahuan emak kerana bimbang dia tidak selesa tinggal lama di sana, lagipun emak menghidap kencing manis," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu, sebentar tadi.

Dalam kemalangan jam 1.20 pagi itu, Ahmad Faizal, 33, dan isterinya, Nur Fazilah Mad Zani, 33, serta dua anak, iaitu Nur Aimi Nadirah, 8, dan Ahmad Fakhri Naim, 3, maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan.

Anak kedua pasangan itu, Ahmad Faqih Nazmi, 5, patah tangan kanan.

Ahmad Faizal yang bertugas sebagai Ketua Bot Ronda dalam Pasukan Polis Marin (PPM) Melaka adalah sebagai seorang periang dan suka berjenaka.

16 dibaca
Berita Harian X