Selasa, 30 Ogos 2016 | 12:04pm

Seimbang pengajian al-Quran, akademik pelajar tahfiz - Raja Muda Perlis


RAJA Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan bergambar kenangan bersama para peserta selepas melancarkan Program Titian Kasih Mega Khas Bersama Maahad-Maahad Tahfiz Negeri Perlis 2016 di Pauh Putra hari ini.Kira-kira 500 pelajar dari maahad tahfiz seluruh negeri Perlis menyertai program tersebut anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP).- Foto BERNAMA

ARAU: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pusat pengajian tahfiz perlu seimbangkan pengajian al-Quran dan akademik pelajar.

Baginda bertitah semua pusat tahfiz juga harus berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bagi memudahkan urusan pentadbiran selain meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap aspek pengurusan pusat tahfiz berkenaan.

"Penubuhan pusat tahfiz itu sudah tentu untuk memberi manfaat kepada pelajar mendalami bidang hafazan al-Quran namun dalam masa yang sama pelajar juga harus didedahkan pengetahuan akademik yang seragam.

"Jika sukatan pengajian al-Quran dan akademik dapat diseimbangkan, nescaya negeri ini mampu melahirkan generasi pemimpin atau ketua yang memiliki pengetahuan bukan saja dalam bidang akademik, malah dalam bidang tahfiz," titah baginda.

Bertitah merasmikan ‎Program Titian Kasih Mega Khas Bersama Maahad-Maahad Tahfiz Seluruh Negeri Perlis 2016 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini semalam, baginda meminta pengendali pusat tahfiz agar memilih tenaga pengajar yang bertauliah.

"Jika ada tenaga pengajar yang tidak cukup ilmu mengajar tanpa pengawasan pihak atasan, ia mungkin menjadi faktor kerosakan generasi akan datang yang berpunca daripada teknik tidak betul pembelajaran al-Quran dan lain-lain bidang berkaitan agama, titah baginda.

Terdahulu, Raja Muda berkenan melancarkan buku tulisan Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertajuk "The Importance of Understanding Text and The Context of Hadith" terbitan MAIPs. - BERNAMA

Berita Harian X