Selasa, 30 Ogos 2016 | 12:19am
SEBAGAI sebahagian daripada transformasi pembersihan rumah urut dan pusat refleksologi yang beroperasi secara haram, sudah tiba masanya DBKL mengamalkan ketelusan dalam setiap tindakan yang diambil. - Foto NSTP
DBKL perlu lebih tegas dan ketat dalam meluluskan sebarang lesen baharu premis perkhidmatan pusat refleksologi serta aromaterapi.
DBKL akan menetapkan kuota rumah urut dan pusat refleksologi serta aromaterapi, bagi setiap kawasan. - Foto NSTP

DBKL tak keluar lesen rumah urut baharu

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam, memutuskan tidak memberi kelulusan kepada sebarang permohonan baharu lesen rumah urut, premis refleksologi serta aromaterapi di sekitar ibu kota.

Serentak keputusan terbabit, notis permohonan baharu lesen semua premis berkaitan, yang dipasang di luar Kaunter Pelesenan DBKL sejak 15 Ogos lalu, sudah diturunkan.

Pengarah Bahagian Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff, ketika mengesahkan langkah terbaharu itu, berkata sepanjang tempoh notis dinaikkan hingga semalam, pihaknya menerima 35 permohonan.


PENGARAH Bahagian Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff. - Foto fail NSTP/Adib Rawi

"Daripada 35 permohonan lesen baharu itu, hanya satu permohonan membuka rumah urut, manakala bakinya membabitkan pusat siber dan pusat hiburan keluarga.

"Namun, DBKL tidak bercadang memberi kelulusan semua permohonan itu, sebaliknya meneruskan kajian kedudukan premis berkaitan di seluruh ibu kota. Laporan kajian akan siap dalam masa terdekat," katanya kepada BH, semalam.

Beliau mengulas bantahan pelbagai pihak terhadap langkah DBKL membuka permohonan baharu lesen premis berkaitan sejak 15 Ogos lalu.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz, berkata DBKL akan menetapkan kuota rumah urut dan pusat refleksologi serta aromaterapi, bagi setiap kawasan di seluruh bandar raya ini, dalam usaha mengehadkan bilangan premis terbabit.


DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Beliau berkata, penetapan kuota itu adalah di antara langkah dicadangkan dalam kajian dan bancian oleh DBKL, bagi menangani lambakan rumah urut dan pusat refleksologi di ibu kota ketika ini.

Katanya, penetapan kuota terbabit akan mengambil kira semua aspek termasuk kesesuaian zon, permintaan pelanggan, lokasi dan status rumah urut sedia serta sensitiviti masyarakat setempat.

"Laporan akhir kajian akan menentukan jumlah kuota mengikut keperluan kawasan dan tidak dibenarkan melebihi jumlah ditetapkan DBKL. Ini bermakna jika sesetengah kawasan didapati mempunyai premis melebihi keperluan, lesen sedia ada tidak akan diperbaharui.

"Bagaimanapun, DBKL akan memberi notis awal kepada pengusaha untuk menutup premis itu dan akan mencadangkan mereka memohon lesen perniagaan lain mengikut kelayakan yang ada," katanya.

Mhd Amin Nordin berkata, penutupan premis sedia ada juga akan mengambil kira status sama ada pemilik mempunyai lesen operasi atau pernah melanggar syarat ditetapkan DBKL.

"Apa yang penting, pengeluaran lesen perlu sejajar permintaan industri," katanya.

Dalam perkembangan sama, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mahu hasil kajian dan bancian menyeluruh mengenai keperluan pengeluaran lesen baharu rumah urut, refleksologi dan aromaterapi didedahkan kepada umum.

Ketua Pemudanya, Mohd Razlan Muhammad Raffi, berkata tindakan itu perlu kerana masyarakat memainkan peranan penting menentukan keperluan premis terbabit di setiap kawasan.

gn4id:15758869

Katanya, sebagai sebahagian daripada transformasi pembersihan rumah urut dan pusat refleksologi yang beroperasi secara haram, sudah tiba masanya DBKL mengamalkan ketelusan dalam setiap tindakan yang diambil.

"Orang awam sering mendengar tindakan diambil pihak berkuasa dalam mengatasi masalah ini, namun jarang mendengar pengumuman mengenai hasil siasatan dan kajian.

"Saya rasa wajar untuk DBKL mengumumkan keputusan hasil kajian kepada orang awam kerana ia dapat memberi gambaran jelas mengenai isu ini kepada masyarakat," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan turut menafikan inisiatif DBKL mengkaji keperluan pengeluaran lesen baharu premis itu berpunca daripada desakan politik.

"Kami tidak pernah mendesak DBKL mengeluarkan lesen baharu kerana rumah urut dan pusat hiburan sudah terlalu banyak ketika ini. Apa yang berlaku ketika ini ialah kegagalan pihak berkuasa tempatan menjalankan pembersihan mengatasi masalah terbabit," katanya.

INFO:

# 2013 - Portal, Liveandinvestoverseas.com, melaporkan Malaysia berada di tangga ke-8 dunia dengan nisbah 52 pelacur bagi setiap 10,000 penduduk

# Oktober 2013 - DBKL bekukan lesen rumah urut, pusat refleksologi dan aromaterapi

# 2014 - Malaysia tidak lagi tersenarai antara 10 negara mempunyai bilangan pekerja seks paling ramai.

13 dibaca
Berita Harian X