Isnin, 29 Ogos 2016 | 4:52pm

Lebih 400 mat rempit ditahan

MELAKA: Lebih 400 mat rempit termasuk remaja wanita ditahan dalam operasi khas membanteras lumba haram di Jalan Kubu berhampiran Jonker Walk, di sini, hingga lewat malam tadi.

Dalam operasi bermula jam 5 petang hingga 11.30 malam membabitkan sepasukan 47 anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah itu, semua mat rempit berusia 16 hingga 35 tahun diarahkan menolak motosikal masing-masing sejauh kira-kira satu kilometer ke IPD untuk dokumentasi, sebelum dibebaskan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata empat remaja lelaki berusia antara 19 hingga 23 tahun ditahan dalam operasi itu kerana didapati positif dadah jenis methaphetamine.

Katanya, jalan berkenaan dikenal pasti menjadi laluan mat rempit di negeri ini untuk berlumba dan menjalankan kegiatan tidak berfaedah, selain di sekitar Jalan Hang Tuah serta bekas tapak Eye On Malaysia di sini.

"Daripada jumlah 332 motosikal dan dua kenderaan diperiksa, polis mengeluarkan 162 saman ke atas mat rempit yang melakukan pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan dilakukan termasuk cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu dan mengubah motosikal. Selain itu, sebuah motosikal juga turut disita," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berita Harian X