Isnin, 29 Ogos 2016 | 4:14pm

SME Corp salur RM2.1 juta kepada 20 syarikat tempatan


NAWI (kiri) bersama Timbalan Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy (kanan) selepas mesyuarat Jawatankuasa Kelulusan Geran Peringkat PKS Terengganu. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM2.1 juta disalurkan SME Corp negeri kepada 20 syarikat yang terbabit dalam bidang perkhidmatan, pekilangan dan makanan serta minuman bermula tahun ini sehingga Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan, Nawi Mohamad, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 29 peratus peruntukan disalurkan kepada bidang perniagaan berasaskan makanan dan minuman, simen serta perkayuan (17 peratus), minyak dan gas (14 peratus) serta tekstil dan pakaian (11 peratus), manakala bakinya disalurkan untuk bidang lain.

"Setakat ini, semua usahawan yang mendapat geran SME Corp menunjukkan prestasi pertumbuhan yang memberangsangkan, malah sentiasa memberi komitmen dalam apa saja usaha dijalankan untuk melonjakkan perniagaan mereka.

"Geran diberikan ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat dengan mendapatkan mesin pengeluaran yang lebih canggih.

"Selain itu, pihak SME Corp akan memantau perkembangan usahawan yang menerima bantuan geran ini secara berkala melalui Penarafan Daya Saing PKS bagi Penambahbaikan (SCORE) setiap tahun," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kelulusan Geran Peningkatan PKS Terengganu, di sini, hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa itu turut meluluskan geran bernilai RM1.2 juta kepada 12 usahawan di negeri ini.

Nawi berkata, pada tahun ini, fokus pembiayaan juga diberikan kepada syarikat berstatus dua bintang, terutama perniagaan dimiliki anak muda (B40) dan usahawan wanita yang mempunyai perniagaan berpotensi untuk dikembangkan menerusi pembiayaan ini.

"Syarikat anak muda disediakan pembiayaan awal modal perniagaan untuk pembelian peralatan, sewaan dan pengubahsuaian kilang.

"Kerajaan juga turut bersedia mempertimbangkan keperluan lain yang bersesuaian terutama dari segi aktiviti pemasaran dan promosi, malah kerajaan juga akan melihat keperluan lain misalnya berkaitan geran promosi produk atau tambah nilai pembungkusan yang mana bantuan boleh dipohon dari semasa ke semasa," katanya.

Berita Harian X