Isnin, 29 Ogos 2016 | 2:28pm

RHB Islamic serah zakat RM200,000 kepada MAIK


KETUA Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali menyerahkan replika cek kepada Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dalam majlis penyerahan zakat perniagaan yang diadakan di bangunan MAIK di Kota Bharu, hari ini. - Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: RHB Islamic Bank Berhad menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM200,000 kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

Zakat berkenaan diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali kepada Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dalam majlis penyerahan zakat perniagaan yang diadakan di bangunan MAIK di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

Nik Mohd Azlan berkata, sejak Januari hingga semalam, jumlah kutipan zakat MAIK terkumpul sebanyak RM112 juta, manakala jumlah agihan semasa yang dibelanjakan MAIK berjumlah RM104 juta.

Katanya, jumlah berkenaan berkurangan sebanyak RM3.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu dan dipercayai disebabkan faktor ekonomi semasa.

"Menerusi kutipan MAIK, wang zakat yang diperoleh itu disalurkan kepada golongan asnaf menerusi 19 program yang diwujudkan termasuk bantuan bulanan fakir miskin, bantuan persekolahan dan rumah kediaman, selain bantuan kepada sekolah pondok serta biasiswa pelajar miskin," katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, MAIK membelanjakan RM160 juta iaitu 52 peratus untuk fakir miskin dan 42 peratus untuk fisabilillah serta pengajian.

Berita Harian X