Ahad, 28 Ogos 2016 | 7:46pm

Pekerja kantin maut, 3 cedera kereta bertembung lori

ALOR GAJAH: Seorang pekerja kantin sekolah di Shah Alam, Selangor maut akibat tersepit selepas kenderaan yang dinaiki bersama empat rakannya, bertembung dengan lori kontena di Jalan Kemuning, Gadek di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang, mangsa Muhamad Faiz Mohd Rashid, 27, bersama empat lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Perdana itu maut di tempat kejadian ketika dalam perjalanan dari Hutan Percha ke Gadek.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan A Asmadi Abdul Aziz, berkata nahas berlaku apabila kereta itu dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas memasuki lorong bertentangan.

"Kereta itu yang dipandu lelaki berusia 54 tahun, gagal dikawal ketika melalui selekoh menyebabkannya memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah lori kontena jenis Volvo yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dari arah bertentangan.

"Sejurus pelanggaran itu berlaku, mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang kanan tersepit sebelum disahkan maut oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah di kepala," katanya ketika dihubungi hari ini.

A Asmadi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala pemandu kereta terbabit yang cedera parah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Dua rakan mangsa cedera ringan manakala seorang lagi penumpang kereta dan pemandu lori tidak cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X