Ahad, 28 Ogos 2016 | 5:35pm

Lelaki maut ditetak menantu 


Senjata dipercayai digunakan suspek dalam pergaduhan di Ladang Lebih Jaya, dekat Kinabatangan. - Foto ihsan IPD Kinabatangan

KINABATANGAN: Seorang lelaki maut ditetak menantunya sendiri yang dipercayai cemburu dengan rakan mangsa dalam kejadian di Ladang Lebih Jaya, dekat sini.

Mangsa, Andy Arif Fatah, 47, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada tengkuk, bahu, siku dan kaki susulan kejadian kira-kira jam 7.45 petang semalam itu.

Andy sebelum itu dipercayai didatangi menantunya bersama tiga rakan suspek sebelum berlaku pergaduhan dipercayai kerana suspek cemburu dengan rakan bapa mentuanya itu yang datang ke rumah mangsa.

‎Sebelum kejadian, isteri suspek dikatakan pulang ke rumah bapanya kerana mendakwa tidak tahan dengan perangai suaminya yang sering mendera dan memukulnya.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata siasatan awal polis mendapati suspek berang selepas rakan bapa mentuanya datang ke rumah mangsa.

"Suspek mahu memukul rakan mangsa, namun dihalang oleh bapa mentuanya itu. "Ia menyebabkan berlaku pergaduhan di antara kedua-dua mereka sebelum mangsa ditetak dengan parang oleh keempat-empat suspek.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat," katanya di sini, hari ini sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis menahan empat suspek berusia 16 hingga 29 tahun di lokasi berasingan dalam kawasan Ladang Hup Seng Sungai Segama, dekat sini antara jam 1.40 hingga 6.20 pagi ini.

147 dibaca
Berita Harian X