Ahad, 28 Ogos 2016 | 11:28am

Mayat kanak-kanak lemas ditemui


MAYAT Nur Aishah Suhaimi dibawa ke darat selepas ditemui tersangkut pada dahan pokok di sungai berhampiran Kampung Dakwah, di sini, pagi tadi - Foto Omar Osman

SUNGAI PETANI: Kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun yang dilapor hilang selepas terjatuh ke sungai berhampiran rumahnya di sini Jumaat lalu, ditemui lemas pagi tadi.

Mayat Nur Aishah Suhaimi ditemui jam 9.55 pagi dalam keadaan terapung dan tersangkut pada dahan pokok di sungai berhampiran Kampung Dakwah, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan 1 Mohamad Yunus Abu, berkata operasi mencari mangsa yang masuk hari ketiga diteruskan jam 8 pagi tadi selepas pencarian dilakukan sejak Jumaat lalu tidak membuahkan hasil.

"Pagi tadi ketika mencari sekitar sungai berhampiran pasar raya, anggota SAR (mencari dan menyelamat) menemui mayat mangsa terapung dan tersangkut pada dahan kayu. Mayat diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat," katanya.

Gerakan mencari membabitkan 30 anggota termasuk Unit K9 serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Bomba Sukarela.

Berita Harian X