Sabtu, 27 Ogos 2016 | 6:18pm

KRT Gunung kayuh basikal 20km


Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat, Mohd Radzuan Hamat (kanan) bersama peserta Pogram Kayuhan Sihat Ambang Merdeka anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gunung, Bachok. - Foto Nor Amalina Alias

BACHOK: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gunung dengan kerjasama Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) mengadakan kayuhan merdeka sejauh lebih 20 kilometer mengelilingi 17 kampung sekitar Bachok.

Program Kayuhan Sihat Ambang Merdeka itu disertai hampir 300 penduduk pelbagai usia, merangkumi kanak-kanak hingga warga emas.

Kayuhan turut disertai masyarakat Cina yang tinggal di sekitar Kampung Gunung.

Pengerusinya, Asli Mat Deris, berkata antara kampung dilalui peserta adalah Kampung Jelutong, Durian Kudung, Bukit Temalong, Keting, Kubang Telaga, Panchor, Bukit Kecik dan Bator, Jelawat.

"Kita pilih laluan kampung kerana mahu sambutan merdeka dirasai masyarakat memandangkan sambutan sebelum ini banyak dilakukan di bandar," katanya ketika ditemui pada program itu, hari ini.

Asli berkata, pembabitan kaum Cina dalam program kayuhan itu menunjukkan semangat perpaduan pelbagai kaum menyambut kemerdekaan negara.

Peserta, Lee Su Eang, 63, gembira kerana dapat bersama berkayuh sempena sambutan Hari Kebangsaan bersama rakan.

Harith Iskandar Mohd Pazrol, 12, teruja berbasikal bersama adiknya, Harith Istisyam, 11 yang turut memakai pakaian diperbuat daripada bendera hasil jahitan ibu mereka, Farina Ismail, 30.

Berita Harian X