Jumaat, 21 November 2014 | 9:51am

Empat sekeluarga maut kereta bertembung dengan bas


KEADAAN kereta PERODUA Myvi yang bertembung dengan bas ekspres yang mengakibatkan empat sekeluarga maut dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Lipis-Merapoh, kira-kira jam 2.30 pagi tadi. - Foto NSTP

KUALA LIPIS: Empat sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 8, Jalan Kuala Lipis-Merapoh, berhampiran Kampung Kubang Rusa, dekat sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu menyebabkan mangsa, pemandu kereta Perodua Myvi, Ahmad Nor Sallahuddin Ahmad Zamberi ,29, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.


KEADAAN kereta PERODUA Myvi yang bertembung dengan bas ekspres yang mengakibatkan empat sekeluarga maut dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Lipis-Merapoh, kira-kira jam 2.30 pagi tadi. - Foto NSTP

Manakala isterinya, Azian Ismail, 32, dan dua anak mereka, Ahmad Abinubli Ahmad Nor Salluhuddin, 3, serta Airis Auta Ahmad Nor Sallahuddin berusia satu tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berlaku ketika empat beranak itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kelantan.

"Namun sebaik tiba di tempat kejadian, Ahmad Nor Sallahuddin secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

"Akibatnya, kereta berkenaan bertembung dengan sebuah bas ekspres yang datang dari arah Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghubungi pihak berkuasa sebelum anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Lipis tiba bagi mengeluarkan semua mangsa itu," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, pemandu kereta berkenaan maut di tempat kejadian manakala isteri dan dua anaknya meninggal dunia sebaik menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

"Pemandu dan 47 penumpang bas ekspres tidak mengalami sebarang kecederaan namun kita sudah mengambil maklumat lanjut daripada mereka berkaitan kejadian itu," katanya.

Berita Harian X