Jumaat, 21 November 2014 | 8:54am

Hospital contoh penerapan tulen konsep 1Malaysia

Hospital sebenarnya adalah pusat pertemuan sosial yang begitu penting dalam konteks perpaduan nasional di negara ini. Itulah tempatnya semua kaum berkumpul untuk tujuan sama - mendapat perkhidmatan kesihatan dan perubatan sama rata.

Namun, kepentingan hospital sebagai 'pusat perpaduan' ini kurang mendapat perhatian dan jarang dibincangkan kerana umum menganggap hospital tempat pesakit mendapatkan rawatan dan keluarga serta sahabat handai datang melawat.

Hospital kerajaan yang lengkap dengan kemudahan ada di seluruh negara, bandar besar mahupun daerah. Ia tempat rakyat menaruh harapan mendapatkan rawatan sebaik mungkin dan terus hidup.

Tanpa kemudahan hospital kerajaan, mereka hanya berserah kepada takdir kerana tidak mampu membayar kos perubatan dikenakan hospital swasta. Jika sekadar rawatan biasa, mereka boleh mendapatkan rawatan di klinik kerajaan yang juga bertaburan di setiap ceruk di seluruh negara. Jika tidak ada peralatan sesuai untuk merawat sesuatu penyakit, mereka dirujuk ke hospital yang lebih lengkap.

Bagi yang mampu atau mempunyai perlindungan insurans, mereka mendapatkan perkhidmatan di hospital swasta. Bilangan pengunjung hospital swasta tidak seramai di hospital kerajaan.

Setiap hari hospital dikunjungi pesakit tanpa henti. Perkhidmatan kecemasan dibuka 24 jam. Walaupun kemudahan dan perkhidmatan di hospital swasta lebih selesa, bayaran dikenakan adalah tinggi.

Perkhidmatan hospital kerajaan terbuka kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum, kepercayaan, ideologi politik, latar belakang dan sebagainya. Doktor hanya mahu tahu apakah penyakit dihadapi, bukan perkara yang tidak ada kaitan dengan penyakit mereka.

Atas dasar kemanusiaan

Kebelakangan ini, hospital kerajaan juga memberi perkhidmatan kepada pendatang asing. Ramai antara mereka, atas dasar kemanusiaan mendapat rawatan seperti rakyat negara ini. Di wad bersalin hospital kerajaan, setiap hari ramai pendatang asing melahirkan anak.

Tanggapan umum bahawa imej hospital kerajaan untuk mereka yang berpendapatan rendah dan kumpulan rakyat yang tidak mampu mendapat perkhidmatan di hospital swasta, adalah salah. Ia tanggapan lama kerana kebanyakan hospital kerajaan hari ini mempunyai kemudahan kelas pertama.

Hospital kerajaan kini turut dikunjungi mereka yang berpendapatan tinggi. Sesuatu yang jelas ialah di mana-mana hospital kerajaan, pengunjungnya mewakili semua kaum. Di hospital kerajaan, tidak timbul sebarang diskriminasi kaum. Perkhidmatan di hospital kerajaan adalah di luar lingkungan politik. Pesakit diberi layanan sama rata oleh doktor dan petugas yang juga mewakili semua kaum.

Sama ada pesakit Melayu, Cina, India, Sikh atau semua kaum etnik di Sabah dan Sarawak, mereka mendapat perkhidmatan saksama. Mereka yang datang awal didahulukan, manakala yang datang lewat perlu menunggu giliran.

Tiada jurang kaum

Mereka juga arif dengan kesan psikologi pesakit. Jika ada kajian pemerhatian dilakukan di hospital kerajaan, didapati interaksi antara petugas dan pesakit adalah positif. Antara petugas dan pesakit tidak wujud jurang kaum. Setiap doktor melayan pesakit tanpa mengira kaum. Di wad, pesakit diletakkan tanpa mengira kaum kecuali kes tertentu yang memerlukan pengawasan lebih teliti.

Pesakit berinteraksi bertanya khabar dan bertukar maklumat mengenai penyakit mereka. Konsep atau penerapan 1Malaysia di hospital adalah tulen. Selain Melayu, kaum Cina adalah paling ramai mendapat perkhidmatan di hospital kerajaan. Mereka menggunakan perkhidmatan kerajaan atas pelbagai alasan. Ia mungkin kerana mereka tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah dan tidak kurang juga mereka yakin dengan perkhidmatan disediakan. Atas dasar ini, tidak ada sebab kaum Cina tidak berterima kasih kepada kerajaan sedangkan mereka menggunakan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan kerajaan.

Hospital baharu terus dibina manakala doktor khasnya doktor pakar terus dilatih untuk menampung keperluan di hospital kerajaan. Bagi penyakit ringan, rakyat boleh berkunjung ke Klinik 1Malaysia. Bagi tahun depan, lebih 30 Klinik 1Malaysia akan diwujudkan menjadikan jumlahnya 290 buah.

Justeru, setiap rakyat perlu menghargai fungsi yang dimainkan hospital kerajaan dalam membentuk rakyat yang sihat dan bersatu padu.

Berita Harian X