Sabtu, 27 Ogos 2016 | 11:25am

Bursa Malaysia dijangka menguji semula paras 1,700

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka menguji semula paras psikologi 1,700 minggu depan, dipacu oleh keyakinan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS tidak akan menaikkan kadar faedah serta harga minyak mentah yang stabil, kata seorang peniaga.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, data ekonomi terkini dari Amerika Syarikat menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam pesanan barangan tahan lama manakala data pembuatan menunjukkan ekonomi terbesar dunia itu terus mencatatkan pemulihan.

Beliau berkata meskipun peningkatan berterusan dalam ekonomi AS, Fed tidak dijangka menaikkan kadar faedah pada September ini untuk menampung pertumbuhan.

"Pada mesyuarat tahunan bank-bank pusat di Jackson Hole, Wyoming, AS, baru-baru ini juga menunjukkan kebanyakan bank pusat memilih untuk kenaikan kadar faedah secara beransur-ansur dan mengadakan program rangsangan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Nazri Khan berkata harga minyak mentah kekal melebihi US$45 setong, yang menunjukkan komoditi semakin stabil.

Bagi minggu yang baru berakhir, indeks penanda aras gagal menguji paras 1,700 mata setelah kurang pemangkin selepas pelabur tidak memasuki pasaran menunggu ucapan Pengerusi Fed Janet Yellen pada Jumaat.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 4.59 mata kepada 1,683.09, Indeks FBM Emas berkurangan 50.16 mata kepada 11,801.42, Indeks FBMT 100 turun 40.32 mata kepada 11,514.58 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 56.24 mata kepada 12,439.94.

Mengikut sektor pula, Indeks Kewangan menyusut 36.23 mata kepada 14,446.27, Indeks Perusahaan berkurangan 21.84 mata kepada 3,153.28 dan Indeks Perladangan merosot 55.39 mata kepada 7,806.67.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 8.85 bilion unit bernilai RM8.26 bilion daripada 13.31 bilion unit bernilai RM9.98 bilion minggu lepas.

Di pasaran utama jumlah dagangan susut kepada 5.50 bilion saham bernilai RM7.71 bilion daripada 7.25 bilion saham bernilai RM9.06 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran turun kepada 1.97 bilion unit bernilai RM289.18 juta berbanding 3.83 bilion unit bernilai RM446.97 juta minggu lepas.

Pasaran ACE berkurangan kepada 1.39 bilion saham bernilai RM264.78 juta berbanding 2.22 bilion saham bernilai RM463.08 juta. - BERNAMA

Berita Harian X