Sabtu, 27 Ogos 2016 | 10:53am

Pasaran getah dijangka kukuh minggu depan

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka kukuh minggu depan setelah pembeli mungkin mengambil kesempatan semasa harga komoditi itu yang kurang memberangsangkan.

Seorang peniaga tempatan berkata, pasaran berkemungkinan pulih minggu depan seiring dengan prestasi lebih baik di Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM).

"Ini kerana niaga hadapan getah TOCOM mengakhiri penurunan selama empat hari pada Jumaat, tetapi pasaran tempatan tidak menerima sepenuhnya kerana berakhir hampir tidak berubah.

"Bagaimanapun, prestasi harga minyak mentah dan ringgit juga akan menjadi faktor penyumbang kepada trend getah tempatan minggu depan. Penurunan akan disekat oleh harga minyak mentah yang lebih kukuh manakala ringgit yang tinggi berbanding dolar AS mungkin menjejaskan kenaikan (dalam harga getah)," katanya.

Bagi minggu yang baru berkahir, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi gred tayar SMR 20 susut 14 sen kepada 501.5 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 19 sen kepada 424.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada jam 5 petang bagi SMR 20 susut 13 sen kepada 502.0 sen sekilogram manakala lateks pukal berkurangan 20.0 sen kepada 423.0 sen sekilogram. -- BERNAMA

Berita Harian X