Sabtu, 27 Ogos 2016 | 8:55am

Pelatih Muslim dipecat kerana enggan tanggal tudung


GAMBAR hiasan.

BERLIN: Pelarian wanita Palestin yang diupah sebagai pelatih di pejabat Datuk Bandar di Jerman, dipecat pada hari pertama bekerja kerana enggan menanggalkan tudungnya.

Datuk Bandar Luckenwalde, Elisabeth Herzog-von der Heide, memecat pelatih berusia 48 tahun itu selepas sehari kerana pendirian tegasnya tidak mahu menanggalkan tudung, lapor akhbar The Local.

"Tudung adalah cara menyatakan pandangan agama," Herzog-von der Heide dipetik sebagai berkata.

Oleh itu, katanya, memakai tudung melanggar prinsip dewan bandar raya itu, yang tidak membenarkan pemakaian salib.

Wanita Palestin itu diupah untuk projek 'Perspectives for Refugees' dan dijangka bekerja di situ selama enam minggu.

Katanya, beliau enggan menanggalkan tudung di depan lelaki, dan Herzog-von der Heide berkata mereka tidak dapat menyediakan suasana bekerja yang sesuai untuknya.

Wakil Parlimen dan parti CDU pimpinan Canselor Jerman, Angela Merkel, Sven Petke, mengecam Datuk Bandar parti Sosial Demokrat berikutan pemecatan itu.

"Tiada asas perundangan untuk keputusan itu," kata Petke, menjelaskan Mahkamah Perlembagaan Jerman memutuskan kepercayaan peribadi dan hubungan dengan beberapa jenis pemakaian tidak boleh dihalang.

"Ia sesuatu yang berbeza berbanding salib di dinding," katanya.

Bagaimanapun, anggota parti berhaluan kanan, AfD, memuji keputusan memecat pelatih berkenaan.

Memakai tudung di tempat kerja, terutama di sektor perundangan atau awam, menjadi perbahasan panas di seluruh negara itu. - AGENSI

500 dibaca
Berita Harian X