Jumaat, 26 Ogos 2016 | 10:18pm

Kanak-kanak 8 tahun hilang jatuh sungai


Anggota bomba melakukan operasi mencari dengan menggunakan bot dan menyelam di Sungai Kampung Tengah, Padang Temusu di Sungai Petani hari ini.. - Foto ihsan Bomba

SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun hilang selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran kawasan rumahnya di Kampung Tengah, Padang Temusu di sini, hari ini.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat, berkata Nur Aishah Suhaimi dikatakan bermain di atas titi sebelum terjatuh ke dalam sungai, jam 5.15 petang.

Katanya, pihaknya dengan kekuatan 11 orang tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit selepas menerima panggilan dari orang awam.

"Pasukannya kemudian menggunakan kaedah menyusuri sungai terbabit menggunakan bot sebelum dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang mencari di dasar sungai.

"Sehingga kini, kanak-kanak terbabit masih belum dijumpai dan pencarian masih diteruskan di kawasan sekitar dengan bantuan penduduk kampung terbabit," katanya.

Berita Harian X