Jumaat, 26 Ogos 2016 | 7:09pm

KPKT kaji minta swasta bina, sewakan PPR


Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar (tiga kanan) ketika melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Keramat di Kampung Ketiau, Putatan. - Foto NSTP/Edmund Samunting

PUTATAN: Kerajaan bercadang meminta pemaju swasta membina rumah berkonsepkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan menyewakannya kepada pemohon yang layak bagi membolehkan lebih banyak rumah dengan konsep sama disediakan kepada rakyat berpendapatan rendah.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata menerusi pendekatan itu, pemaju akan melaksanakan projek PPR mereka sendiri tetapi menggunakan dasar yang sama seperti digunakan kerajaan dalam setiap projek PPR dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, langkah itu adalah pendekatan sesuai untuk membina lebih banyak rumah PPR dan cepat berbanding bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata seperti diamalkan sekarang dan ia dijangka dilaksanakan mulai tahun depan.

"Kita sedang kaji konsep pihak swasta laksana dulu kemudian jual secara sewa beli secara bulanan dengan kerjasama kerajaan. Jika ini kita boleh laksanakan maka rumah PPR tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata, tetapi dasar sama," katanya kepada pemberita selepas meninjau PPR Taman Sri Keramat di Ketiau, di sini, petang tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Zakaria Edris dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Ginun Yangus.

Noh berkata, pihaknya juga mengkaji kaedah sesuai untuk memastikan penghuni PPR membayar sewa setiap bulan bagi menyelesaikan kes tidak membayar sewa yang dihadapi kebanyakan PPR ketika ini.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya menyerahkan kepada kerajaan negeri sama ada melaksanakan konsep sewa beli atau hanya menyewakan rumah projek PPR yang dibina di Sabah.

Katanya, keputusan itu ditentukan kerajaan negeri kerana Sabah memiliki undang-undang sendiri berkaitan perumahan dan sebarang keputusan membabitkan kaedah pemilikan PPR tertakluk kepada peraturan di negeri ini.

17 dibaca
Berita Harian X