Jumaat, 26 Ogos 2016 | 12:19pm

Azizulhasni kecewa PKBM langgar perjanjian tajaan


JAGUH trek berbasikal, Azizulhasni Awang. - Foto Rosli Rahmat

KUALA LUMPUR: Belum habis pun kebimbangan terhadap isu penajaan, jaguh trek berbasikal Azizulhasni Awang meluahkan kekecewaannya apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) didakwa melanggar terma perjanjian tajaan Yayasan Sime Darby (YSD).

"Apabila mengetahuinya hari ini (keputusan mahkamah), saya terkejut dan tak sangka kerana langsung tidak mengetahui perkara ini. Saya terkilan dan kecewa kerana saya juga sebahagian daripada pasukan (yang ditaja).

"Saya tak tahu menahu, namun saya berharap perkara ini tak menjejaskan penajaan saya," kata pemenang pingat gangsa di Olimpik Rio 2016, semalam.

The Pocketrocketman berkata, perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana dia masih mengharapkan YSD yang menaja pasukan itu sejak tahun 2009 akan menyambung kontrak penajaan yang bakal berakhir bulan ini.

"Saya kecewa ini berlaku kerana pada saya ia tak sepatutnya berlaku. Secara tidak langsung ia akan menjejas sukan berbasikal secara keseluruhan," katanya.

Azizulhasni berkata, MNCF sepatutnya mencontohi pengurusan sistematik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam menguruskan penajaan.

Mahkamah Sesyen semalam memerintahkan PKBM membayar balik wang tajaan berjumlah RM288,275.56 kepada YSD.

Dalam tuntutan saman berkenaan, YSD menamakan Datuk Abu Samah Abd Wahab dan Datuk Naim Mohammad selaku Presiden dan Timbalan Presiden PKBM.

Sementara itu, Abu Samah berkata, beliau sudah mengarahkan firma perundangan Rao & Co yang mewakili PKBM untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

"Saya rasa dengan apa yang diputuskan tadi (semalam) akan menjejaskan kalau ada mana-mana pihak yang mahu menaja dan kemungkinan akan tawar hati," katanya.

Abu Samah berkata, keputusan itu bakal memburukkan keadaan apabila sejak 2014 lagi badan induk berbasikal negara itu langsung tidak memperoleh penajaan.

Info

7 pelumba yang ditaja YSD pada 2010

RM2 juta jumlah tajaan YSD

16 dibaca
Berita Harian X