Khamis, 20 November 2014 | 6:45pm

Veolia Water rawat air sisa kawasan TRX


Pengarah Urusan Veolia, Mohammed Akhir Ahmad. - Foto Azmaidi Abidin

KUALA LUMPUR: Veolia Water Technologies Southeast Asia memperoleh kontrak untuk rawatan sisa air dari daerah kewangan baharu, Tun Razak Exchange (TRX) untuk tempoh konsesi 20 tahun.

Pengarah Urusan, Mohammed Akhir Ahmad, berkata menerusi janji niaga itu, syarikat akan membina dan mengendalikan operasi loji rawatan sisa air di TRX untuk menghasilkan air kitar semula yang akan menjadi komponen utama kesinambungan rangka kerja pembangunan daerah kewangan ikonik negara itu.

Pembinaan loji rawatan sisa air itu yang bakal dimulakan tahun depan, dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan berupaya mengurangkan permintaan air di TRX sebanyak 50 peratus.

"Infrastruktur di TRX direka untuk memenuhi standard global serta mapan dan fokus utama ialah penggunaan semua air," katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

Veolia Group adalah peneraju global dalam mengoptimumkan pengurusan sumber dengan mereka bentuk dan menyediakan penyelesaian air, pengurusan sisa dan tenaga yang menyumbang kepada pembangunan mapan komuniti dan industri.

Kumpulan itu sudah menghasilkan penyelesaian air untuk air dari Sungai Thames di United Kingdom (UK), Pelabuhan Darling di Sydney dan daerah Shanghai Pudong manakala di Malaysia ia mempunyai kerjasama dengan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) untuk operasi loji rawatan air di negeri itu, selain pernah menjalankan operasi rawatan loji air Puncak Niaga (M) Sdn Bhd di Selangor.

Loji rawatan sisa air di TRX akan membekalkan air kitar semula yang selamat, bersih dan tidak berbau bagi kegunaan di sekitar daerah perniagaan itu untuk kegunaan penyejukan, pengairan dan kegunaan di tandas.

Ia juga akan mewujudkan sistem kitaran penuh untuk menyediakan air kitar semula yang mencukupi bagi semua kegunaan selain untuk minum.

"Veolia menyasar untuk mendapatkan semula sekurang-kurangnya 80 peratus air sisa atau kumbahan yang dihasilkan setiap tahun untuk digunakan semula dalam kawasan TRX, sekali gus mengurangkan permintaan air bersih sebanyak 50 peratus," katanya.

Berita Harian X