Khamis, 25 Ogos 2016 | 6:49pm

Pembantu jualan ditahan kes jumpa mayat bayi


Lokasi mayat bayi lelaki yang ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan melecur akibat pembakaran di kawasan tapak pembuangan sampah belakang sebuah pasaraya di Kilometer Dua Jalan Papar. - Foto Mohd Adam Arinin

PAPAR: Polis menahan seorang pembantu jualan sebuah pasar raya di Pekan Papar bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat bayi lelaki dalam keadaan melecur di tapak pembuangan sampah, di sini, semalam.

Wanita berusia 26 tahun yang bekerja di pasar raya berkenaan ditahan di sekitar pekan ini pada jam 9.10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan George Abd Rakhman, ketika dihubungi berkata suspek wanita itu kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

Katanya, berdasarkan soal siasat, wanita terbabit mengaku melahirkan bayi lelaki itu dalam tandas berhampiran pasar raya berkenaan.

"Suspek juga mendakwa bayi berkenaan meninggal dunia ketika dilahirkan dan dia membungkus mayat bayi itu dengan plastik sebelum dimasukkan ke dalam kotak sebelum diletakkan di tempat pembuangan sampah.

"Sehubungan itu, kes berkenaan dianggap selesai dengan tertangkapnya suspek yang juga kepada ibu kepada bayi malang terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Mayat bayi lelaki masih bertali pusat itu ditemui dalam keadaan melecur di kawasan pembuangan sampah di belakang sebuah pasar raya, jam 10 pagi semalam.

Polis yang menjalankan siasatan di lokasi kemudian menemui beberapa tompokan darah pada pintu serta dalam tandas berhampiran pasar raya berkenaan.

Berita Harian X