Khamis, 25 Ogos 2016 | 4:51pm

Hukuman penjara, denda RM4.05j warga Pakistan kekal

PUTRAJAYA: Seorang ahli perniagaan warga negara Pakistan diperintahkan menjalani hukuman penjara sembilan tahun enam bulan dan membayar denda RM4.05 juta setelah gagal dalam rayuan akhirnya untuk mengetepikan sabitan kesalahan terhadap tuduhan melakukan pengubahan wang haram dan menipu melibatkan lebih RM4 juta.

Abdul Majid Rana Nawaz, 62, juga diperintahkan menjalani hukuman penjara empat tahun lima bulan jika gagal membayar denda itu.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Abdul Majid dan memutuskan bahawa Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tingi tidak terkilaf dalam dapatan mereka mengenai fakta dan undang-undang serta penilaian tentang keterangan saksi dalam kes itu.

Beliau berkata sabitan kesalahan Abdul Majid bagi sembilan tuduhan pengubahan wang haram dan tujuh tuduhan menipu adalah selamat, manakala hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen dan dikekalkan Mahkamah Tinggi, adalah munasabah.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi.

Pada 7 Jun 2012, Mahkamah Sesyen mengenakan hukuman penjara 30 bulan serta denda RM3.7 juta atau 28 tahun penjara terhadap Abdul Majid kerana kesalahan melakukan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM2.4 juta.

Abdul Majid juga dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun serta didenda RM350,000 atau 25 bulan penjara kerana didapati bersalah bagi tujuh tuduhan menipu tujuh kontraktor, melibatkan RM1.7 juta.

Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman penjara terhadap ahli perniagaan itu dilaksanakan secara berturut-turut.

Pada 23 Oktober tahun lalu, Abdul Majid gagal dalam rayuannya kepada Mahkamah Tinggi dan susulan itu mengemukakan pula rayuannya kepada Mahkamah Rayuan.

Bagi pertuduhan melakukan pengubahan wang haram, dia antara lain dituduh menerima RM2,425,000 keuntungan secara haram melalui cek di Maybank Berhad Cawangan Wisma Genting, Jalan Sultan Ismail di sini antara Ogos 2006 dan Julai 2007.

Abdul Majid dituduh menipu tujuh kontraktor dengan membuat mereka mempercayai bahawa syarikatnya boleh membantu mereka mendapatkan satu projek bagi membina menara telekomunikasi 3G MITV daripada MITV Corporation Sdn Bhd.

Kontraktor berkenaan dikatakan menyerahkan RM1,750,000 dalam bentuk tunai dan cek kepada Abdul Majid di Block F, Phileo Damansara 1, No.9, Jalan 16/11, Petaling Jaya, antara Disember 2006 dan Mac 2007.

Abdul Majid diwakili peguam Syed Mohd Fuad Syed Ahmad, manakala pihak pendakwa diwakili Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh. - BERNAMA

71 dibaca
Berita Harian X