Khamis, 25 Ogos 2016 | 2:37pm

Khairy jamin tajaan Azizulhasni tidak putus


JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang. - Foto Rosli Rahmat

SEPANG: Tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang kerana Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) boleh menampung pembiayaannya bagi menghadapi musim baharu kejohanan lumba basikal.

Jaminan itu diberikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan turut berharap penaja utama pelumba itu, Yayasan Sime Darby (YSD) dapat meneruskan penajaan sebelum ini sekali gus membantu kerajaan menyalurkan peruntukan yang ada bagi sukan lain.

"Seelok-eloknya YSD dapat teruskan penajaan kerana mereka sudah memperoleh pulangan dengan Azizulhasni (memenangi gangsa Olimpik).

"Saya sendiri saksikan bukan mudah untuk dia memenangi keirin apabila semua pelumba Eropah berada di final dan dia menjadi satu-satunya wakil Asia.

"Dia adalah pelumba 'paling tinggi' yang mendapat pingat. Saya sangat berbangga dengannya," katanya.

Katanya, beliau belum mendapat perkhabaran lagi sama ada YSD mahu mengurangkan atau menghentikan penajaan kepada Azizulhasni bagi menampung apa yang diberikan MSN dan ISN. Jika tidak ada, bila-bila masa saja MSN dan ISN boleh ambil alih," katanya selepas majlis meraikan kepulangan wira dan wirawati negara di Sukan Olimpik Rio di Kompleks Bunga Raya, semalam.

Beliau mengulas laporan BH Sukan semalam mengenai Azizulhasni mengakui pertemuannya dengan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman di sini, Isnin lalu berakhir dengan positif sekali gus meluahkan kebimbangan terhadap kontrak penajaannya bersama YSD yang akan tamat bulan ini.

Berita Harian X