Rabu, 24 Ogos 2016 | 7:27pm

Mayat bayi melecur di tempat buang sampah


MAYAT bayi lelaki ditemui dalam keadaan melecur di kawasan pembuangan sampah di belakang sebuah pasar raya di Papar. - Foto NSTP

PAPAR: Mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan melecur di kawasan pembuangan sampah di belakang sebuah pasar raya, di sini, tengah hari tadi.

Bayi malang itu dipercayai dibuang sejurus dilahirkan berikutan keadaan mayat masih bertali pusat, selain beberapa tompokan darah ditemui pada pintu serta dalam tandas berhampiran pasar raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan George Abd Rakman, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan bayi itu kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang pekerja pasar raya menjumpai bayi lelaki itu ketika mahu ke tandas yang terletak di belakang pasar raya.

"Ketika menuju ke tandas, pekerja itu ternampak objek seperti anak patung dan sebaik diteliti, ia adalah bayi lelaki dipercayai sudah tidak bernyawa.

"Siasatan polis kemudian mendapati beberapa bahagian badan bayi berkenaan melecur dipercayai akibat aktiviti pembakaran sampah di kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Berita Harian X