Rabu, 24 Ogos 2016 | 4:12pm

Kerjasama Emirates, Malaysia Airlines beri kesan positif


ANDREW Bunn.

KUALA LUMPUR: Emirates, syarikat penerbangan berpangkalan di Dubai, gembira dengan kemajuan yang dicapai sejak syarikat penerbangan itu menjalin perkongsian kod dengan Malaysia Airlines pada awal tahun yang menyaksikan peningkatan penumpang ke negara ini.

Pengurus Negara Bagi Singapura, Malaysia dan Brunei Emirates, Andrew Bunn, berkata ini kerana perkongsian kod itu membuka akses ke destinasi baharu menerusi rangkaian dan penyambungan meluas Emirates ke seluruh dunia.

Beliau berkata, perkongsian kod itu menyediakan penumpang dengan lebih banyak pilihan pengembaraan lancar ke bandar-bandar di Malaysia dengan penyambungan mudah di Kuala Lumpur, selain ia turut memanfaatkan pengembara dari rantau ini dengan rangkaian yang diperluaskan, termasuk lebih 90 destinasi di Eropah, Asia Barat, Afrika dan Amerika.

"Kami gembira dengan kemajuannya setakat ini, ..kami positif akan mencatat pertumbuhan penumpang tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung pembabitan Emirates di Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia 2016 (MATTA Fair 2016) di sini hari ini.

Menurut penganalisis penerbangan di CAPA, penyedia analisis, data dan perisikan penerbangan bebas, Malaysia Airlines memerlukan Emirates bagi mengekalkan kehadirannya di Eropah, yang mana Emirates sudah memiliki perkongsian kod ke atas 18 laluan dikendalikan Malaysia Airlines.

Perjalanan dari Malaysia ke Eropah akan lebih selesa dengan hanya satu transit di Dubai dan sambungan rangkaian yang lancar ke 39 destinasi Eropah.

CAPA berkata, sungguhpun perkongsian kod Malaysia Airlines-Emirates bermula secara relatifnya perlahan, Malaysia Airlines bercadang mengaktifkan 40 lagi laluan perkongsian kod Emirates hujung tahun ini.

Perjanjian perkongsian kod antara terbesar dilaksanakan Malaysia Airlines itu membuka akses syarikat penerbangan tanah air itu ke destinasi baharu menerusi rangkaian penerbangan Emirates ke seluruh dunia termasuk 30 destinasi Amerika Selatan dan Eropah seperti Rome, Paris, Zurich, Geneva, Stockholm, Madrid, dan Barcelona.

MATTA Fair 2016 tahun ini menyaksikan Emirates bertindak sebagai rakan syarikat penerbangan rasmi pameran pelancongan utama negara itu.

Berita Harian X