Rabu, 24 Ogos 2016 | 12:05am
ASFAN Shah di kediaman terbarunya, Anjung Sari Setia Alam. - Foto Rohanis Abdul Shukri
PENYANYI, Asfan Shah dan isteri Ain Sakinah Razali di kediaman terbarunya, Anjung Sari Setia Alam. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Asfan utamakan beli rumah daripada alatan muzik

KUALA LUMPUR: Menjadi seorang pemuzik, bagai satu kemestian untuk golongan terbabit membeli peralatan ataupun memiliki teknologi terkini mengikut kemampuan masing-masing.

Semua pelaburan itu pula dilakukan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam usaha menghasilkan karya yang memikat hati pendengar selain memenuhi selera terkini.

Namun berbeza pula dengan penyanyi dan komposer, Asfan, 32, apabila beliau menganggap pendekatan melaburkan wang menerusi pembelian rumah lebih menguntungkan demi masa depan diri serta keluarganya.

ASFAN menyifatkan membina sebuah studio di rumah memudahkan beliau untuk sentiasa dekat dengan isteri dan dua anaknya. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Kata penyanyi yang mula popular menerusi lagu Terhenti Di Sini, beliau sanggup bekerja keras untuk mendapatkan rumah seperti yang diimpikan dan kini bersyukur apabila diberikan rezeki untuk membeli kediaman pertama di sekitar Setia Alam, Shah Alam.

"Alhamdulillah, sebenarnya, saya baru saja berpindah ke rumah baharu ini, dua minggu lalu. Sebenarnya, ia lebih kepada kejutan buat isteri, Ain Sakinah.

"Sejak dulu lagi kami mengimpikan rumah yang selesa dengan setiap bilik masing-masing dapat digunakan untuk bekerja, tempat bermain anak-anak dan bilik baju.

"Alhamdulillah, akhirnya saya dapat membeli sebuah rumah untuk keselesaan keluarga, bukannya alatan muzik, menggunakan pendapatan hasil penat lelah saya. Lagipun ia juga pelaburan yang sangat bagus untuk jangka masa yang panjang," katanya.

ASFAN Shah dan isteri Ain Sakinah Razali di kediaman terbarunya, Anjung Sari Setia Alam. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis doa selamat sempena memasuki rumah baharu terbabit, baru-baru ini.

Tambah Asfan, beliau menyifatkan membina sebuah studio di rumah memudahkan beliau untuk sentiasa dekat dengan isteri dan dua anaknya, iaitu Ali Haytham Shah, 3 tahun, dan Ali Wakeel Shah, setahun.

"Biasalah apabila sibuk dengan kerja penghasilan muzik, ia mengambil masa yang sangat lama.

"Sehinggakan masa saya banyak dihabiskan di studio. Jadi, apabila ada studio di rumah sendiri, ia lebih memudahkan saya dekat dengan keluarga," tuturnya,

Sementara itu, Asfan memberitahu, beliau bersyukur kerana semakin ramai artis memberikan kepercayaan kepadanya untuk menghasilkan lagu buat mereka. Pada masa sama, beliau juga sibuk menerbitkan lagu tema drama dan filem.

ASFAN Shah (kanan) meraikan rakan- rakan di kediaman terbarunya, Anjung Sari Setia Alam. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Terbaharu, Asfan sedang menyiapkan beberapa lagu buat Wak Doyok dan Haiza, selain menerbitkan lagu-lagu ciptaan Zulin Aziz

Kata Asfan, keadaan beliau yang begitu sibuk menghasilkan lagu membuatkan tubuh badan beliau pula menjadi kurus.

"Alhamdulillah, walaupun kurus kerana tidak cukup tidur dan banyak kerja, saya bersyukur ramai yang meminta saya menghasilkan lagu untuk mereka. Saya anggap semua ini sebagai peluang dan rezeki.

"Pada masa sama ia juga tanda kepercayaan mereka terhadap bakat muzik saya," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Asfan kini giat menyiapkan album pertama beliau yang dijangka bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Berita Harian X