Khamis, 20 November 2014 | 12:22pm
SEORANG lelaki terkorban dipercayai lemas akibat terperangkap selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit dipenuhi air di Kilometer 82.4 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, awal pagi tadi. - Foto NSTP

Lelaki lemas kereta dipandu terbabas dalam parit

PERMAISURI: Seorang lelaki terkorban dipercayai lemas akibat terperangkap selepas kereta PERODUA Myvi yang dipandunya terbabas ke dalam parit dipenuhi air, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi di Kilometer 82.4 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di sini, mangsa, Shamsul Mohd, 28, dari Kampung Putera Jaya, Bandar Permaisuri, meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu hilang kawalan, sebelum terbabas lalu merempuh tiang elektrik di bahu jalan.

"Kemalangan itu menyebabkan kereta mangsa yang terhumban ke dalam parit dipenuhi air sehingga paras cermin akibat hujan lebat.

"Mangsa yang menjadi korban banjir kedua terperangkap di dalam keretanya dan dipercayai lemas sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Setiu," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat," katanya.

Ab Rahman berkata, lokasi kejadian dipenuhi air akibat hujan lebat berterusan.

Berita Harian X