Khamis, 20 November 2014 | 12:09pm

Jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurangan

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu sehingga jam 10 pagi tadi berkurangan kepada 2,483 orang berbanding 2,543 mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga 11 malam tadi.

Daerah yang terbabit banjir ketika ini ialah Kuala Terengganu; Marang; Setiu dan Besut.

Dari jumlah itu, Kuala Terengganu masih mencatatkan bilangan mangsa teramai iaitu 1,591 orang dari 409 keluarga, sementara daerah Besut yang baru dilanda banjir menyaksikan 15 mangsa dari tiga keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Shaballah Zainal Abidin, berkata jumlah mangsa di Marang juga meningkat kepada 861 orang dari 209 keluarga, manakala di Setiu seramai 16 mangsa dari lima keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan.

Beliau berkata, setakat ini seorang pelajar Tingkatan Satu menjadi korban banjir, apabila lemas selepas terjatuh ke dalam telaga yang digenangi air banjir di Kampung Jelapang, Setiu, jam 4 petang semalam.

"Pagi ini seramai 65 mangsa dari Kampung Dalam Huma; Tok Dor, Besut, dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Menengah Tok Dor, Jerteh termasuk dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Di daerah Kuala Terengganu, pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak menempatkan bilangan mangsa teramai iaitu 1,135 dari 292 keluarga," katanya.

Berita Harian X