Selasa, 23 Ogos 2016 | 12:51pm

Budak lelaki dilarikan di JB ditemui selamat

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilarikan dua individu tidak dikenali di Taman Melodies di sini pada Sabtu lalu, ditemui selamat oleh orang awam semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata kanak-kanak berusia enam tahun itu ditinggalkan suspek di kawasan taman permainan kanak-kanak di Teluk Danga di sini, sebelum ditemui orang ramai.

"Berdasarkan pemeriksaan, kanak-kanak itu tidak mengalami kecederaan dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, polis menerima laporan sebuah kenderaan jenis BMW 740i dilarikan oleh dua suspek yang tidak dikenal pasti di Jalan Beringin di Taman Melodies di sini.

Di dalam kenderaan itu, terdapat seorang kanak-kanak lelaki.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Najmuddin berkata, kenderaan itu sudah ditemukan semula di Jalan Impian Emas 5/1, Taman Impian Emas dekat Skudai semalam dipercayai turut ditinggalkan suspek.

Polis kini sedang memburu dua suspek terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata dan culik.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan tanpa pengawasan orang dewasa. - BERNAMA

Berita Harian X