Khamis, 20 November 2014 | 9:12am

UMNO perlu bijak rancang, urus perubahan politik

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada 25 hingga 29 November ini, banyak pandangan dan harapan diluahkan pemimpin parti mahupun ahli yang mahukan parti teras orang Melayu ini sentiasa segar. Sebagai parti politik yang berusia 68 tahun, UMNO perlu kukuh dan relevan dalam landskap politik baharu di Malaysia.

Suasana politik sudah banyak berubah. Corak pemikiran terbuka masyarakat, tuntutan baharu dalam politik, impak media sosial dan peranan golongan muda mencetuskan gelombang kebangkitan kesedaran politik global. Oleh kerana kebangkitan ini global sifatnya, maka UMNO dan orang Melayu tidak terkecuali.

Tidak dinafikan perkembangan politik itu memberi cabaran kepada keyakinan rakyat kepada kepemimpinan dan institusi politik. Dalam konteks Malaysia, semakin ramai tidak berminat dan semakin menjauhkan diri, bukan sahaja dengan UMNO, malah pergerakan politik lain. Begitu ramai yang sangat kritikal, mencurigai malah menyalahkan UMNO dalam semua kemelut bangsa dan negara. Politik dilihat bukan lagi khidmat dan perjuangan, tetapi sebagai instrumen untuk pengaruh, kuasa, prestij dan kekayaan.

Apakah pilihan yang ada untuk berhadapan dengan cabaran ini? Pertama, menentang dan menghalang perubahan, kedua; mengambil sikap tidak endah dan ketiga, merancang, mendepani dan mengurus perubahan. Saya percaya pilihan ketiga adalah yang terbaik.

Empat formula perkasakan UMNO

Ketika berucap pada Konvensyen UMNO Johor baru-baru ini, saya memperjelaskan pilihan ketiga itu dengan menggariskan empat formula bagi memperkasakan kedudukan dan peranan UMNO.

Pertama, UMNO memerlukan suatu transformasi dan bukannya perubahan kosmetik bersifat luaran semata-mata. UMNO mesti berfikir di luar norma kebiasaan. Parti harus diurus dan tampil menjadi pergerakan lebih canggih, dipimpin pemikiran termaju serta dengan pendekatan bersederhana.

UMNO harus bangkit dan tampil menjadi pergerakan politik sezaman, berprinsip dan inklusif. Constituents UMNO bukan lagi hanya ahlinya, tetapi masyarakat Melayu dan Malaysia. Constituents yang pelbagai dan kompleks ini harus diurus dengan bijak dan menuntut keterbukaan. Yang rencam itulah bakal membuahkan penyelesaian terbaik dan berhikmah. Hanya pergerakan politik bersifat sezaman dan mendukung pemikiran termaju dapat mengurus kepelbagaian ini dengan kematangan dan membuahkan kejayaan.

Kedua, UMNO mesti gigih berikhtiar dan meyakinkan generasi muda Melayu dan Malaysia bahawa mereka boleh mempercayai dan meyakininya. UMNO seterusnya akan mendengar dan menyahut aspirasi mereka. Untuk diyakini, UMNO mesti mempunyai pelan, idea, strategi dan dasar yang jelas dan pragmatik, bertindak balas terhadap semua permasalahan orang Melayu, rakyat Malaysia dan negara dengan segera dan bersesuaian.

Lalu dasar dan strategi UMNO mengenai pendidikan kena jelas. Dasar mengenai agihan ekonomi perlu realistik. Dasar kesihatan mesti boleh diterjemahkan dalam perkhidmatan kesihatan terbaik, setanding negara maju. Dasar perumahan tidak akan sama sekali meminggirkan mana-mana golongan. Dasar mengenai Islam mesti mengambil kira kemajmukan Malaysia. Dan UMNO mesti telus, terbuka dan rasional dalam semua dasar pro-Melayu dan pro-Bumiputera.

Ketiga, UMNO memerlukan mekanisme baharu dalam menggerakkan demokrasi dengan cara yang selari dengan kedinamikan abad ke-21. UMNO perlu menyusur denai yang akan membawa parti untuk menghubungkan semula orang Melayu dan rakyat Malaysia dengan idealisme politik dalam era yang menyaksikan ideologi politik mula menjadi sesuatu yang jijik dan memualkan.

Manfaatkan teknologi digital, media sosial

Satu daripada jalannya ialah menggunakan teknologi digital dan media sosial untuk menjadikan UMNO lebih demokratik dan inklusif. Proses membuat keputusan, menjalankan gerak kerja dan menyelesaikan masalah rakyat mestilah didemokrasikan melalui teknologi. Media sosial dan rangkaian teknologi ini harus menjadi instrumen dan wahana UMNO untuk resonates dan mendengar suara hati rakyat.

Keempat, jalan pembaharuan untuk UMNO mesti berorientasikan perkhidmatan sivik. Perkhidmatan sivik ini adalah fungsi yang selalu dilupakan dalam keghairahan UMNO mengekalkan kuasa dan meluaskan pengaruh. Ia dikesampingkan kerana kita selesa dengan kuasa. Pada kita, UMNO adalah kerajaan dan kerajaan adalah UMNO.

Kesannya, komponen civic service sangat diabaikan dalam UMNO yang semakin berusia. Ramai beranggapan ini bukan tugas UMNO tetapi tanggungjawab kerajaan. Perkara ini menyebabkan umat Melayu tidak mampu melonjak sebagai bangsa yang boleh berjaya dengan sendiri. Sindrom terlalu menunggu dan mengharap semuanya dari pemerintah dan orang lain sangat melemahkan orang Melayu.

Saya percaya, keempat-empat formula ini akan memastikan UMNO berada pada landasan tepat dan mampu berdaya saing dalam persaingan politik baharu. Untuk itu, UMNO perlu kuat dan dilihat kuat. Masih belum terlambat untuk UMNO berbuat demikian.

Berita Harian X