Isnin, 22 Ogos 2016 | 12:32pm

Anak-anak pembakar semangat untuk terus cekal

PETALING JAYA: Kehilangan sebahagian tangan kirinya akibat kemalangan ngeri motosikal pada Julai tahun lalu tidak pernah mengubah minat Shamasrol Abu Bakar terhadap hobi menunggang kenderaan itu terutama yang berkuasa tinggi.

Selepas sembuh daripada kecederaan akibat kemalangan yang meragut nyawa isterinya, Nor Azina Mohd Ratki itu, Shamasrol, 37, terus menyertai kegiatan bermotosikal termasuk berkuasa tinggi, yang diadakan bersama rakan-rakannya termasuk di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bezanya cuma kini beliau menunggang menggunakan sebelah tangan.

Bapa kepada tiga anak, seorang lelaki berusia 17 tahun dan dua perempuan, 10 dan 14 tahun itu berkata walaupun bergelar OKU, hidup perlu diteruskan terutama untuk anak-anak.

"Halangan terbesar adalah diri kita sendiri, jika kita yakin boleh melakukan, tidak ada apa yang boleh menghalang lagi melainkan ketentuan Allah SWT.


POLIS trafik melakukan pemeriksaan di lokasi kemalangan di Jalan Tun Fuad Stephen, berhadapan Lembaga Pelabuhan Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

SHAMASROL yang kudung tangan kiri terus berjinak dalam dunia permotoran. - Foto Surianie Mohd Hanif

"Saya masih ada tiga orang anak yang memerlukan penjagaan dan perhatian, apatah lagi mereka sudah kehilangan kasih sayang seorang ibu.

"Pada mulanya memang agak tertekan dengan keadaan diri, tetapi lama-lama saya sedar, saya tidak boleh selamanya meratapi nasib," katanya yang tidak bercadang menggunakan tangan palsu buat masa ini.

Malah, sewaktu ditemubual, Shamasrol sedang bersiap-siap untuk menyertai konvoi motosikal ke Betong Bike Week di sempadan Malaysia-Thailand.

Mendengarnya, seumpama tidak masuk akal kerana perjalanan lebih 300 kilometer dengan motosikal dan menggunakan sebelah tangan itu bukan sesuatu yang mudah selain meletihkan.

"Saya tak ada apa-apa rahsia atau kaedah khas. Saya menunggang seperti biasa dan motosikal saya juga tidak diubah suai seperti kenderaan OKU lain.


PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Tun Fuad Stephen, berhadapan Lembaga Pelabuhan Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

"Apa yang saya ada hanya semangat dan tekad untuk hidup seperti manusia lain yang normal. Seboleh mungkin saya cuba hidup seperti sebelumnya," katanya yang akan menunggang Yamaha RXZ 135cc dalam konvoi itu.

Beliau berkata ramai yang bertanya, namun beliau tidak ada jawapan khusus atau rahsia yang boleh dikongsikan.

"Saya akui pada mulanya memang kekok dan gementar menunggang motosikal dengan hanya sebelah tangan.

"Namun kemudian saya dapat membiasakan diri menunggang seperti biasa," katanya yang kini menggunakan lesen memandu orang kurang upaya (OKU).

Pada 5 Julai tahun lalu, pasangan itu terbabit dalam kemalangan motosikal di Kilometer 14.2, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson arah Seremban.

Isterinya maut di tempat kejadian manakala beliau putus tangan kiri pada bahagian lengan apabila motosikal mereka merempuh pembahagi jalan ketika pulang dari bersahur bersama beberapa rakan motosikal lain di Port Dickson.

Kehilangan isteri sememangnya sukar diterima, namun Shamasrol berkata yang lebih sukar ialah menerima hakikat bahawa beliau kini adalah OKU.


SHAMASROL bersama rakan memeriksa motosikal sebelum memulakan konvoi ke Bentong. - Foto Surianie Mohd Hanif
SHAMASROL cekal walaupun bergelar OKU dan kini menjadi ayah dan ibu kepada tiga anaknya. - Foto Surianie Mohd Hanif
MINAT Shamasrol terhadap motosikal tidak pernah padam. - Foto Surianie Mohd Hanif
Berita Harian X