Isnin, 22 Ogos 2016 | 11:01am

Perintah reman pegawai DBKL disambung


PENGARAH kanan DBKL bergelar Datuk Seri (menutup kepala) disambung reman selama lima hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Perintah reman terhadap seorang pengarah kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram dilanjutkan lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini.

Majistret Isfahanie Tasnim Ab Rahman mengarahkan perintah reman terhadap suspek bergelar Datuk Seri itu disambung sehingga 27 Ogos ini.

Lelaki berusia 54 tahun itu direman tujuh hari bermula Selasa lalu selepas ditahan sehari sebelumnya di pejabatnya dalam operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 dan lima kali nilai suapan, mana-mana yang lebih tinggi.

Berita Harian X