Ahad, 21 Ogos 2016 | 9:22pm

MCA muktamadkan calon bagi PRU14 - Liow

Presiden parti MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Mohd Yusni Ariffin

JELEBU: MCA sudah memuktamadkan calonnya bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai langkah awal untuk menawan kembali kerusi yang tidak dimenanginya pada pilihan raya umum lalu.

Presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk berbincang mengenai calon yang dipilih itu.

"Kriteria bagi pemilihan calon kami bukan sahaja berlandaskan keputusan parti, tetapi juga seseorang calon itu mestilah disukai ramai dan boleh menang. MCA perlu mendapatkan kembali sokongan kaum Cina dan di Negeri Sembilan, kami sudah mengenal pasti semua 10 kerusi berkenaan.

"Kami membahagikannya kepada beberapa kategori dan melipatgandakan fokus untuk memenangi kembali kerusi itu," katanya selepas merasmikan Bilik Gerakan MCA Chennah di Titi, dekat sini, hari ini.

Liow yang juga Menteri Pengangkutan, berkata MCA akan memohon mendapatkan kembali tiga kerusi parlimen iaitu Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju daripada UMNO.

"Kami meminjamkan tiga kerusi parlimen itu kepada UMNO dan kami akan mendapatkannya balik serta yakin UMNO akan bantu MCA untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

"Bagi MCA, kami sudah bersedia, malah persiapan telah dibuat sejak awal lagi. Seperti di Pulau Pinang, sekiranya mereka ingin mengadakan pilihan raya awal, kami sudah bersedia," katanya sambil menjelaskan bahawa calon parti itu terdiri daripada muka baharu dan lama.

Liow berkata, MCA akan bekerja keras untuk mendapatkan kembali sokongan kaum Cina dengan terus membantu dan berkhidmat kepada orang ramai, termasuk di kawasan MCA mengalami kekalahan pada PRU lalu.

"Di Chennah, walaupun kami kalah pada PRU lalu, kami tidak akan berputus asa dan akan terus berkhidmat kepada rakyat. Kami juga membawa pulang banyak anggota MCA untuk memastikan mereka menjadi pengundi di sini dan cuba merekrut lebih banyak anggota baharu," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X