Ahad, 21 Ogos 2016 | 7:35am

EPL: Liverpool dimalukan Burnley, City terus garang


PEMAIN Burnley, Matthew Lowton (kanan) berebut bola dengan pemain Liverpool, Philippe Coutinho dalam aksi EPL di Turf Moor, semalam. - Foto Reuters

LONDON: Liverpool mengharungi kekalahan memalukan 2-0 kepada Burnley, semalam ketika Manchester City membelasah Stoke City 4-1 sekali gus meneruskan permulaan sempurna buat Pep Guardiola di Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Reds yang dibimbing Jurgen Klopp memperoleh keputusan baik pada aksi pembukaan EPL minggu lalu apabila mencatatkan kemenangan ke atas Arsenal 4-3.

Begitupun, perlawanan kedua berubah menjadi mimpi ngeri dengan penyerang Burnley dari Wales, Sam Vokes meledakkan gol pertamanya dalam kempen elit Inggeris itu seawal minit kedua hasil hantaran Andre Gray yang memanfaat kesilapan pemain Liverpool, Nathaniel Clyne.

Liverpool yang mencatat kekalahan pertama liga di Turf Moor sejak 1973 sekali lagi bolos apabila Gray melakukan larian bijak hasil hantaran Steven Defour untuk meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-37.

Pada aksi lebih awal, penyerang berbisa City, Sergio Aguero meledak dua gol pada aksi di laman Stoke yang juga gol keenamnya dalam tiga perlawanan, musim ini sekali gus membawa kelab bimbingan Guardiola ke puncak liga.

Penyerang antarabangsa Argentina itu membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi penanti selepas Ryan Shawcross mengasari Nicolas Otamendi dan meledak gol keduanya pada minit ke-36 menerusi tandukan hasil sepakan percuma Kevin De Bruyne.

Stoke cuba merapatkan jurang pada minit ke-49 apabila Raheem Sterling dipersalahkan kerana mengasari Shawcross dengan Bojan Krkic menyempurnakan penalti.

Ketika permainan memasuki minit-minit terakhir, City menjaringkan dua lagi gol menerusi penyerang Sepanyol, Nolito pada minit ke-86 dan masa tambahan sekali gus kemenangan ketiga kelab itu dalam semua kejohanan musim ini.

Dianggap antara pencabar utama kejuaraan musim ini, Guardiola percaya barisan bintangnya masih memiliki ruang untuk meningkat ketika ditanya mengenai persembahan mereka.

"Segala-galanya. Saya amat kagum dengan pemain yang juga manusia biasa menerusi persembahan mereka," kata bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu.

"Kami hanya memiliki tempoh sebulan untuk bersama. Kini tiba masanya untuk menjadi lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, penyerang Sepanyol, Diego Costa menjaringkan gol ketika Chelsea mencatat satu lagi kemenangan lewat 2-1 ke atas Watford.

Tottenham Hotspurs juga mencatat kemenangan tipis 1-0 kepada Crystal Palace hasil jaringan pemain tengah dari Kenya, Victor Wanyama dengan Gareth Barry meledak gol pertamanya dalam tempoh dua tahun ketika Everton mencatat kemenangan 2-1 ke atas West Bromwich Albion.

Hull City yang ketika ini sedang berdepan masalah mencatat kemenangan 2-0 ke atas Swansea. - AFP

Berita Harian X