Sabtu, 20 Ogos 2016 | 6:44pm

Tertekan masalah keluarga, wanita cuba bunuh diri


ANGGOTA bomba memujuk seorang wanita berusia 33 tahun yang bertindak cuba membunuh diri dalam satu kejadian di sebuah rumah tingkat empat di Flat PKNS, Seksyen 24 Shah Alam. - Foto IHSAN BOMBA

SHAH ALAM: Gara-gara tidak tahan dengan masalah keluarga yang dihadapi, seorang wanita bertindak cuba membunuh diri dalam satu kejadian di Flet PKNS, Seksyen 24, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun itu dikatakan cuba untuk terjun dari tingkat empat flet berkenaan sebelum disedari oleh orang awam.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Mohd Rusni Ali, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.34 pagi daripada orang awam memaklumkan kejadian terbabit.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang juga warga Indonesia dilihat berada di bahagian beranda dapur di rumah jirannya.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati pintu utama rumah berkenaan dikunci dari dalam dan mangsa dipercayai memasuki rumah terbabit melalui beranda rumahnya.

"Kami terpaksa memecahkan pintu rumah terbabit dengan kebenaran pihak polis menggunakan 'padlock remover' sebelum memujuk mangsa yang berada di luar kawasan beranda rumah berkenaan.

"Selepas hampir 20 minit dipujuk, mangsa kemudiannya akur dan berjaya dibawa keluar dengan selamat," katanya ketika dihubungi BH.

Mohd Rusni berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X