Sabtu, 20 Ogos 2016 | 3:04pm

Liverpool perlu bukti kemenangan bukan nasib


PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto EPA

LONDON: Liverpool melakukan kunjungan ke Burnley malam ini dalam usaha membuktikan kemenangan 4-3 ke atas Arsenal pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu lalu bukan bersandarkan nasib.

Kelab yang dibimbing Jurgen Klopp itu terkenal dengan kemampuan menumbangkan kelab-kelab gergasi di liga elit Inggeris itu namun mereka agak bergelut ketika bertemu kelab-kelab kurang ternama.

Klopp menyedari akan kelemahan terbabit dan berkata skuadnya perlu meningkatkan tahap permainan seperti ketika bertemu Arsenal jika tidak mahu tercicir.

"Beberapa perkara menjadi amat baik, namun ada beberapa daripada tidak begitu baik. Ada banyak perkara yang perlu ditingkatkan," kata Klopp.

"Saya mengetahui mengenai rekod Burnley di laman sendiri dan mereka amat kuat dan yakin di laman sendiri," kata pengurus kelahiran Jerman itu.

Pada aksi bertemu Burnley, Klopp kehilangan khidmat penyerang, Sadio Mane yang berdepan kecederaan bahu namun pemain seperti Divock Origi dan Daniel Sturridge mampu diturunkan bagi menggantikan penyerang antarabangsa Senegal itu.

Mane menampilkan aksi terpuji pada penampilan pertamanya bersama The Reds dengan meledak gol ketika bertemu Arsenal.

Untuk rekod, kali terakhir Liverpool muncul juara ialah pada 1990 iaitu gelaran ke-18 kelab itu. - AFP

Jadual perlawanan EPL malam ini:

- Stoke City mln Manchester City, 7.30mlm

- Burnley mln Liverpool, 10mlm

- Swansea City Hull City, 10mlm

- Tottenham Hotspur mln Crystal Palace, 10mlm

- Watford mln aChelsea, 10mlm

- West Bromwich Albion mln Everton, 10mlm

- Leicester City mln Arsenal, 12.30tgh mlm

Berita Harian X