Sabtu, 20 Ogos 2016 | 11:45am

100,000 Jalur Gemilang diedar percuma di Kedah


BADROL Hisham (kanan) melepaskan peserta kayuhan merdeka pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Langkawi di Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat, Langkawi, hari ini. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Sebanyak 100,000 Jalur Gemilang akan diagihkan percuma kepada orang ramai di seluruh negeri ini bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan Ke-59 negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata selain itu agihan Jalur Gemilang turut bertujuan mengajak rakyat bersama-sama memperlihatkan semangat kecintaan kepada negara.

"Semua bendera itu diharap dapat dipasang pada bangunan, kenderaan, premis perniagaan dan kediaman mereka sepanjang sebulan tempoh sambutan," katanya selepas Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Langkawi di Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat di sini, hari ini.

Sempena acara itu, Badrol Hisham turut melepaskan 800 peserta terdiri daripada ketua jabatan kerajaan dan swasta, pelajar sekolah serta penduduk setempat yang menyertai kayuhan merdeka sejarah tiga kilometer.

Turut hadir, Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat dan Penghulu Mukim Ayer Hangat, Abdul Malik Abdul Aziz.

Badrol Hisham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kempen Kibar jalur Gemilang Peringkat Negeri, berkata antara program yang dirancang di Kedah termasuk majlis bacaan Yasin, sambutan ambang merdeka dan perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri.


SEBAHAGIAN 800 peserta yang menyertai kayuhan merdeka bergambar kenangan pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Langkawi di Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat, Langkawi, hari ini. - Foto Hamzah Osman

Berita Harian X